Kementerian Pendidikan rangka garis panduan pertukaran guru - Utusan Malaysia

Kementerian Pendidikan rangka garis panduan pertukaran guru

MOHD. RADZI MD. JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan menyiapkan satu garis panduan baharu berkaitan permohonan pertukaran guru tahun 2021 bagi menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) pertukaran guru  tahun 1975. 

Menurut Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin antara penambahbaikan itu adalah membenarkan permohonan pertukaran guru dibuat sepanjang tahun yang sebelum ini dilaksanakan secara berperingkat pada sesi Jun 2021 dan Januari 2022 dengan sekali permohonan.

Kata beliau, pihaknya menerima banyak rayuan daripada guru mengenai  perkara itu yang mahu permohonan itu diproses seiring pengambilan guru baharu secara ‘one off’,  

Justeru kata Mohd. Radzi, pihaknya akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan tersebut sebelum menempatkan guru baharu itu.

“Terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira dan dipertimbangkan dalam menerima permohonan guru iaitu terdapat kekosongan jawatan dan kekosongan opsyen di negeri dipohon.

“Perkara asas ini yang diambil kira dan jika ada kekosongan jawatan tetapi tidak kepada kekosongan opsyen di negeri dipohon, amat sukar Kementerian Pendidikan mahu mempertimbangkan,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan menerusi Facebooknya hari ini.

Tambahnya, beliau sedar cabaran yang dihadapi guru dalam konteks permohonan itu, namun kementeriannya akan meneliti perkara tersebut secara menyeluruh.

Radzi berkata, kementeriannya akan menjelaskan garis panduan yang lain dalam masa terdekat dan memastikan melaksanakan yang terbaik bagi menjaga kebajikan guru-guru 

“Saya menyeru kepada guru-guru supaya terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan bersama berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini  dalam melahirkan generasi pewaris negara yang jauh lebih hebat,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN