fbpx

Jawatan TPM akan timbulkan perpecahan

RAZRUL Anwar Rusli (kiri) memasang Jalur Gemilang pada sebuah kereta ketika program Semarak Merdeka Kibaran Jalur Gemilang di Larkin, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet beliau adalah satu tindakan yang tepat.

Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya akan menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).  

Jelasnya, tidak ada keperluan untuk mewujudkan jawatan itu walaupun terdapat desas-desus sesetengah pihak yang mahukan Perdana Menteri mempertimbangkan jawatan tersebut dengan sewajarnya.

“Mungkin selepas beberapa bulan nanti Perdana Menteri akan melantik timbalannya atau jawatan itu tiada sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

“Lagipun Kabinet baharu ini dijangka tidak lama dan berakhir pada PRU-15. Tetapi, jika jawatan Timbalan Perdana Menteri diwujudkan semula, calon yang paling layak adalah daripada Bersatu,” katanya selepas melancarkan program Semarak Merdeka Kibaran Jalur Gemilang di Larkin, di sini hari ini.

Ismail Sabri mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika di awal penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu.

Mengulas lanjut, Razrul Anwar memberitahu, semua pihak seharusnya berhenti berpolitik ketika ini sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Begitu juga dengan mengkritik Kabinet baharu, eloklah berhenti kerana jika nak kritik pasti akan berlarutan dan tidak akan pernah habis. 

“Ini kerana kita khuatir ada pula pihak lain yang mahu menarik sokongan dan situasi politik negara kembali bergolak. Ini akan menjadikan Malaysia tidak maju dan ekonomi juga terjejas. 

“Cuba lihat keadaan negara hari ini akibat pandemik ini, pelajar tidak dapat pergi sekolah dan ada yang tidak dapat pergi bekerja. Kalau nak berpolitik atau tukar pemimpin, tunggu PRU-15,” ujarnya.  – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI