Jalur Gemilang hiasi van semarak patriotisme - Utusan Malaysia

Jalur Gemilang hiasi van semarak patriotisme

MOHAMAD SYUKUR Mohd. Patthi, 27, dari Butterworth, Pulau Pinang menghiasi van jenis Subaru E12 miliknya dengan kira-kira 80 bendera kecil Jalur Gemilang sebagai caranya yang tersendiri dalam meraikan bulan kemerdekaan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Semangat patriotisme dalam diri anak muda ini tidak pernah luntur biarpun sambutan Hari Kebangsaan ke-64 bakal diraikan dalam suasana norma baharu.

Sebanyak 80 bendera kecil Jalur Gemilang yang menghiasi van jenis Subaru E12 milik Mohamad Syukur Mohd. Patthi, 27, menjadi bukti cintanya kepada negara.

Katanya, dia mahu menggembirakan diri sendiri kerana tahun ini tahun kedua rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan dalam norma baharu.

“Kali ini, saya mencari kelainan dengan menghias van dengan menggunakan hampir 80 Jalur Gemilang yang diletakkan di atas bumbung, tingkap dan papan pemuka.

“Perasaan gembira dan seronok tidak dapat digambarkan apabila pengguna jalan raya memberi reaksi seperti membunyikan hon dan menunjukkan ibu jari tanda bagus setiap kali ternampak van ini.

“Ada juga yang bertanya sama ada saya memiliki bendera lebih, dan biasanya saya beri kerana stok Jalur Gemilang disimpan dalam van untuk ganti bendera yang tertanggal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang membantu mengusahakan perniagaan keluarga berkata, semangat cintakan negara wajib diterap dalam diri semua golongan peringkat umur tanpa mengira usia dan kaum.

“Saya percaya masing-masing ada cara tersendiri untuk menzahirkan rasa sayang kepada Malaysia dan ini cara saya untuk berkongsi semangat ini dengan orang ramai.

“Kalau dulu, saya akan meronda sekitar pulau sementara menunggu sambutan besar-besaran di Padang Kota yang biasanya akan diakhiri dengan pertunjukan bunga api, namun kini semuanya tinggal kenangan.

“Jadi, saya cipta kenangan sendiri untuk meraikan hari bersejarah ini walaupun tanpa sambutan meriah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN