Istilah PM interim tiada dalam Perlembagaan - Utusan Malaysia

Istilah PM interim tiada dalam Perlembagaan

DR SHAMRAHAYU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Interim atau sementara tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang di negara ini.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, Perlembagaan tidak secara langsung mengandaikan keadaan itu berlaku dan tiada istilah seumpama itu digunakan dalam undang-undang tersebut.

“Dengan kata lain, istilah “interim” yang digunakan itu tiada dalam Perlembagaan atau undang-undang kita.

“Mungkin andai mahu digunakan istilah ini dalam dimensi perundangan negara, kerajaan seperti ini ditubuhkan semasa keadaan darurat yang pada ketika itu tiada kerajaan sah sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, Shamrahayu berkata, dalam konteks kerajaan interim, bukan sebuah kerajaan sementara dalam erti lain iaitu ‘caretaker government’ yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar dan mempunyai fungsi dan kuasa yang terhad.

Namun, kata beliau, apa yang terdapat dalam Perlembagaan ialah sekiranya sesebuah kerajaan ditubuhkan oleh kerana gagal atau jatuhnya sebuah kerajaan, tetapi, Parlimen tidak dibubarkan, maka, ia adalah satu kerajaan seperti mana juga kerajaan ditubuhkan selepas pilihan raya.

“Syarat untuk menubuhkan kerajaan dengan pelantikan Perdana Menteri serta jemaah menteri adalah sama iaitu menurut Perkara 43(2)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Lantikan Perdana Menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan syarat seseorang itu adalah ahli Dewan Rakyat, yang pada hemat baginda ‘mungkin’ mempunyai kepercayaan majoriti manakala jemaah menteri pula dilantik oleh Seri Paduka di atas nasihat Perdana Menteri.

“Jemaah Menteri yang dilantik di bawah Perkara 43(2) kerana gagalnya pakatan atau coalition sebelumnya mempunyai kuasa dan kedudukan yang sama dengan kerajaan yang dilantik seusai pilihan raya.

“Kerajaan tersebut mempunyai fungsi dan kuasa yang sama. Ia berbeza dengan caretaker government yang mempunyai kuasa terhad dan tidak boleh membuat keputusan besar atau melibatkan perbelanjaan besar. Caretaker Government juga hanya boleh ditubuhkan sekiranya Parlimen bubar,” katanya.

Shamrahayu menambah, Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan mengenai pelantikan jemaah menteri dalam keadaan Parlimen bubar dalam Perkara 43(2). Fasal ini menyatakan:

“…..tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik, tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara”.

Beliau kemudian merumuskan bahawa perlembagaan tidak menggunakan istilah caretaker atau apa-apa istilah lain kerana secara umum jika mahu menggunakan istilah kerajaan atau Perdana Menteri interim ia adalah merujuk kepada tempoh masa sementara.

Ujar beliau, ia bukan kerajaan yang terhad dari segi fungsi atau kuasanya kerana ia tidak seperti caretaker government atau kerajaan sementara yang ditubuhkan semasa Parlimen bubar.

“Pada pandangan saya, istilah interim tidak tepat untuk digunakan kerana sekiranya kerajaan baharu ditubuhkan akibat Perdana Menteri meletak jawatan, ia bukan kerana berlakunya keadaan darurat atau wujudnya kekecohan atau gangguan kepada keselamatan sebagaimana kebiasaan di negara lain.

“Penggunaan istilah yang tepat amat penting agar ia tidak menimbulkan silap faham sekiranya kerajaan baharu ditubuhkan kemudian nanti,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.