TEMERLOH: Pengendali atau konsortium yang melaksanakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersedia memberi pampasan kepada penternakan ikan sangkar yang terjejas berikutan pelaksanaan projek pembinaan jambatan merentasi Sungai Pahang berdekatan kampung Tanjung Batu di sini.
Pembinaan jambatan ECRL itu menimbulkan kesan bunyi melampau kepada ikan patin sangkar berdekatan menyebabkan pembesaran ikan terbantut dan mati.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kelulusan teknikal jarak 300 meter dari lokasi projek wajar diubah kepada jarak yang lebih sesuai bagi mengurangkan gegaran dan bunyi kuat.
Menurutnya, hentakan cerucuk projek yang kuat boleh menyebabkan pembesaran ikan terbantut dan mati mengundang penternak mengalami kerugian.
“Hakikat itu boleh dirujuk cara menuba ikan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan ikan mati walaupun jauh daripada punca letupan.
“Ini apatah lagi dengan bunyi hentakan cerucuk yang sangat kuat dan bertali arus,” katanya kepada pemberita setelah membuat lawatan kerja ke sangkar ternakan patin yang terjejas disebabkan kerja-kerja pembinaan jambatan projek ECRL di Kampung Tanjung Batu di sini semalam.
Mohd. Sharkar berkata, pengendali projek ECRL itu telah memberi taklimat berkenaan keluasan kawasan perusahaan terlibat dan nilai pampasan yang akan diberikan kepada pengusaha tersebut.
Menurutnya, pampasan juga diberikan kepada pengusaha ternakan ikan sangkar yang mendaftar menggunakan nama orang lain bagi tujuan menternak ikan patin dalam radius terjejas.
Tambah beliau, projek ternakan ikan patin sangkar Temerloh perlu dilindungi kerana ia aktiviti utama ekonomi penduduk di pinggir Sungai Pahang.
“Kerajaan Pahang peka dengan aduan penternak yang terkesan bunyi hentakan cerucuk yang kuat daripada pembinaan jambatan berkenaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










