Berniaga makanan tampung kos operasi - Utusan Malaysia

Berniaga makanan tampung kos operasi

KERATAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pihak pengurusan Maahad Tahfiz Sirajul Quran di Seberang Jaya dekat sini terpaksa mencari pelbagai jalan termasuk berniaga makanan dan mengajar secara online bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi berikutan pandemik Covid-19.

Pemiliknya, Zul Sudin, 46, yang menubuhkan maahad itu sejak 11 tahun lalu berkata, pelbagai inisiatif dilakukan bagi mempertahankan institusi tahfiz berkenaan.

“Hendak harapkan yuran bulanan pelajar tahfiz ketika ini memang tidak cukup untuk membiayai kos operasi, utiliti dan gaji guru serta kakitangan.

“Gaji guru maahad tahfiz memang akan dibayar penuh, cuma sumber kewangan kami agak terjejas ketika ini. Yuran pelajar digunakan untuk menampung pembayaran gaji bulanan guru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Maahad Tahfiz Sirajul Quran mempunyai seramai 61 pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun dan 18 kakitangan termasuk guru.

Menurut Zul, ketika ini sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian dan apa yang paling dibimbangkan apabila terdapat pelajar yang gagal mengikut kelas harian berikutan masalah peranti dan internet.

“Kami merayu kepada pihak kerajaan agar membenarkan semula operasi maahad tahfiz biarpun dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sekali gus menaik taraf bantuan yang disalurkan.

“Sesi pembelajaran di maahad tidak sama seperti di sekolah harian kerana pelajar perlu diasuh dan ditarbiah secara bersemuka di dalam madrasah. Cara ini dianggap paling relevan berbanding mereka belajar dari rumah masing-masing,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×