PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan (DOF) sedia memberi bimbingan kepada penternak ikan pelaga tempatan mengenai keperluan makanan bersih untuk hidupan marin itu susulan ada kalangan penternak mengambil jalan mudah memberi makanan tertentu mudah diperoleh daripada loji kumbahan atas faktor kos lebih rendah.
DOF dalam kenyataan berkata, pengambilan artemia (makanan ikan) daripada kawasan tersebut sebenarnya adalah tidak higenik dan ternakan berisiko terdedah kepada penyakit.
Kenyataan itu sebagai menjawab soalan seorang warganet menerusi akaun media sosial rasmi DOF berhubung sokongan untuk para penternak dan penjual ikan pelaga atau hiasan.
Spesies tersebut atau nama saintifiknya, Betta livida dan Betta persephone ketika ini mula popular dalam kalangan penggemar ikan liar untuk dibela sebagai hobi dan juga komersial yang turut mendapat sokongan DOF sehingga menyaksikan Pertandingan Ikan Pelaga Liar Dalam Talian 2020 julung kali diadakan pada tahun lepas dengan lebih 200 penyertaan.
Mengulas lanjut, DOF berkata, agensi itu ada menyediakan kursus ternakan makanan hidup higenik dan secara intensif sebagai sumber utama bagi keperluan benih ikan tersebut.
“Pemberian artemia memerlukan kos tinggi dan ada penternak memilih hidupan alternatif iaitu Moina atau Daphia yang senang ditemui di zon perairan umum atau loji kumbahan,” katanya dalam Facebook.
Justeru, bagi mengelak amalan tidak sihat itu, DOF ada inisiatif untuk mengajar teknologi ternakan artemia yang dapat mengatasi permasalahan tersebut selain dijadikan perniagaan.
Pada masa sama, DOF sedia menolong penternak pelaga yang berdaftar dengan pejabat perikanan daerah untuk bantuan peningkatan kemudahan dan input ternakan akuakultur menerusi Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (Speks) dan Usahawan Agropreneur Muda (UAM) bagi menjamin usaha pengkomersialan lebih terancang.
Melalui inisiatif khas itu, penternak yang berdaftar dan memenuhi syarat ditetapkan akan diberikan bantuan seperti dimohon bergantung kepada peruntukan tahunan semasa jabatan.
Langkah itu juga sejajar perancangan DOF tahun lalu yang mencadangkan penubuhan Betta Village bagi bantu menjana pendapatan dan memberikan penternak peluang perniagaan. -UTUSAN ONLINE