8,000 penternak muda pilih arnab untuk komersial - Utusan Malaysia

8,000 penternak muda pilih arnab untuk komersial

CHE Abdullah (kanan) memeriksa seekor arnab ketika melawat Pusat Ternakan Arnab di Kampung Lambor, Wakaf Bharu, Tumpat. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Lebih 80 peratus daripada kira-kira 10,000 penternak muda di seluruh negara, terlibat secara langsung dengan penternakan arnab, berbanding haiwan ternakan lain.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penternakan arnab menjadi pilihan kerana kos operasi rendah, pusingan ternakan singkat dan pulangan lumayan.

Kata beliau, harga jualan daging arnab ketika ini sekitar RM35 sekilogram dengan anggaran berat karkas (bahagian) haiwan itu yang sudah disembelih antara satu hingga 1.6 kilogram seekor.

“Populasi arnab di negara ini pada tahun lepas dianggarkan sebanyak 44,967 ekor meliputi arnab pedaging dan haiwan kesayangan.

“Populasi arnab di Kelantan juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sejak lima tahun kebelakangan ini apabila mencecah 10,506 ekor tahun lepas, berbanding 1,309 ekor pada 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Ternakan Arnab di Kampung Lambor, Wakaf Bharu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, kebanyakan penternak arnab di Kelantan bernaung di bawah Persatuan Penternak Arnab Kelantan (Petak) dan Persatuan Penternak Arnab Pedaging Kelantan (APek).

“Selain itu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan melalui Skim Agropreneur Muda sehingga suku pertama tahun ini telah membantu seramai 16 orang penternak dalam bentuk sumbangan kelengkapan penternakan bernilai RM320,000.

“Tiada syarat khusus untuk menternak arnab, namun digalakkan untuk mengikuti kursus asas penternakan arnab yang dikendalikan JPV,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya