1,353 peniaga di Seberang Perai divaksin secara berperingkat - Utusan Malaysia

1,353 peniaga di Seberang Perai divaksin secara berperingkat

ROZALI Mohamud (kiri) bertanyakan sesuatu kepada seorang peniaga yang sedang menunggu giliran untuk divaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai 1,353 peniaga yang telah mendaftarkan untuk mengikuti Program Vaksin Peniaga Seberang Perai mulai 4 Ogos lalu kini akan divaksin secara berperingkat dengan kumpulan pertama penerimanya pada hari ini. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud berkata, angka itu bagaimanapun masih kecil daripada jumlah keseluruhan peniaga atau penjaja berlesen dan tidak berlesen di Seberang Perai yang direkodkan MBSP sebelum ini iaitu kira-kira 10,572 orang. 

“Berdasarkan maklumat yang kita perolehi ketika ini juga, hanya 20.75 peratus atau 2,184 orang peniaga telah divaksin (sama ada dos pertama atau kedua) dan masih terdapat 8,343 orang atau 79.25 peratus lagi yang masih belum divaksin. 

“Sehubungan itu, saya menggesa semua peniaga yang berkenaan supaya mendaftar untuk mendapatkan vaksin dengan segera bagi menikmati segala kemudahan yang dijelaskan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” katanya di sini hari ini. 

Pelaksanaan program vaksin itu dibuat susulan pelancaran satu Kajian Penilaian dan Penentuan Risiko sejak Mei lalu yang mendapati pasar awam adalah antara kawasan yang berisiko tinggi untuk berlakunya jangkitan Covid-19. 

Sehubungan itu, para peniaga dan penjaja awam digalakkan mengikuti program berkenaan dengan mengisi borang yang dikeluarkan oleh MBSP secara dalam talian. 

Dalam perkembangan lain kata Rozali, MBSP telah mengaktifkan kira-kira 18 pelan tindakan atau kontigensi bagi mengurangkan risiko jangkitan, menjaga keselamatan serta kesihatan pekerjanya serta memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas. 

Kata beliau, antaranya termasuk Pelan Kontigensi Pembersihan, Pelan Kontigensi Penguatkuasaan dan Pelan Kontigensi Perkhidmatan Kaunter selain mengaktifkan sudut kaunter siber untuk meningkatkan penggunaannya dalam kalangan warga Seberang Perai dan lain-lain. 

Pada masa sama katanya, MBSP turut mengambil inisiatif sendiri untuk memberi sumbangan kepada kakitangannya yang disahkan positif Covid-19, menanggung kos ujian swab terhadap kontak rapat kepada pekerjanya, mengehadkan tempoh mesyuarat dalam talian tidak lebih daripada satu jam dan sebagainya. 

“Kami juga memohon supaya vaksinasi dalam warga kerja MBSP ini dipercepatkan kerana senario buruk pastinya akan berlaku jika peningkatan jangkitan kes baharu dalam kalangan warga kerja MBSP ini terus meningkat. 

“Alhamdulillah, sehingga kelmarin, seramai 2,989 pekerja atau 74 peratus daripada 3,996 warga kerja MBSP telah divaksin berbanding hanya 23 peratus sahaja yang divaksin awal bulan ini manakala 95 pekerja lagi telah pun mendapat tarikh untuk divaksinasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN