PETALING JAYA: Semua undang-undang negara yang sedia ada akan digunakan semula selepas Proklamasi Darurat tamat 1 Ogos ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, perkara itu bermakna undang-undang yang digantung sepanjang tempoh darurat akan berjalan seperti biasa selepas tarikh tersebut.
Katanya, soal itu termasuklah langkah mengekang penularan Covid-19 di negara ini yang boleh terus dilakukan dengan menggunakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Jadi selepas penamatan darurat nanti, kita akan kembali seperti asal iaitu sebelum pelaksanaan darurat iaitu undang-undang digubal selama ini bakal diguna pakai,” jelas beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Sidang Khas Dewan Rakyat kelmarin memaklumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan lanjutan darurat yang dijadualkan tamat pada 1 Ogos.
Berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan turut memutuskan untuk membatalkan enam ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lepas.
Dalam pada itu, Abu Talib berkata, tidak timbul isu kerajaan perlu mengemukakan dalam Parlimen hasratnya untuk tidak menyambung Proklamasi Darurat dan penamatan ordinan-ordinan berkaitan kerana proses itu tidak perlu melalui persetujuan wakil rakyat.
Katanya, melainkan jika kerajaan mahu membatalkan darurat untuk masa ordinan belum ditamatkan, maka perkara itu perlulah dibawa ke Parlimen.
“Menteri cakap darurat tidak disambung, maka tidak jadi isu untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat,” katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kuasa pembatalan atau penarikan balik Proklamasi Darurat terletak di bawah kuasa kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berpendapat, penamatan darurat tidak sama impaknya jika dibandingkan dengan pengisytiharan darurat.
Malah, katanya, pembatalan darurat sebenarnya tidak perlu melibatkan Yang di-Pertuan Agong.
“Ketika isytihar darurat, Agong ada ruang untuk main peranan tetapi dalam soal menarik balik, saya fikir ia kuasa kerajaan sebab ia melibatkan kedudukan semasa dan politik yang hanya kerajaan tahu dan mampu menanggung kesannya.
“Agong tidak terlibat kerana ia sesuatu yang tidak bahaya berbanding dengan mengisytihar darurat. Membatalkan darurat itu hak prerogatif kerajaan, mungkin ia takut pelbagai isu timbul dan untuk elak keadaan yang haru-biru dan memalukan kerajaan maka keputusan membatal dengan tiba-tiba diambil,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tetap perlu bertanggungjawab membentangkan Proklamasi Darurat di Parlimen.
“Ada persoal sudah batal mengapa perlu dibentang, tetapi soalan tentang itu masih boleh dikemukakan,” katanya.
Namun, beliau menempelak tindakan kerajaan yang mengumumkan pembatalan proklamasi darurat secara tiba-tiba dan langsung tidak memberikan alasan yang munasabah.
“Mereka membisu dan meninggalkan Parlimen begitu sahaja sedangkan pengumuman pembatalan itu pelik dan tidak pernah berlaku,’’ katanya. -UTUSAN










