Tiada lagi kes melibatkan pampasan Covid-19 - Utusan Malaysia

Tiada lagi kes melibatkan pampasan Covid-19

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menerima sebanyak 1.4 nisbah laporan kesan suntikan vaksin bagi setiap 1,000 dos vaksin sejak bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia berdasarkan rekod sedia ada melalui sistem pemantauan AEFI Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Hanya 0.07 nisbah laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diklasifikasikan serius hingga memerlukan rawatan lanjut di hospital tetapi sebahagian besarnya dimasukkan untuk jangka pendek.

“Bagi maklum balas kendiri pula, ia sebanyak 18.6 nisbah maklum balas melalui aplikasi MySejahtera bagi setiap 1,000 dos vaksin dengan menyatakan sakit kepala, sakit di tempat suntikan dan mengalami keletihan,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK bersama Menteri Penyelaras PICK merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin secara maya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat kes serius yang berlaku sehingga pampasan diberi.

Adham berkata, sehingga saat ini, tidak ada lagi kes melibatkan penggunaan dana Tabung Bantuan Mudarat Vaksin Covid.

Mac lalu, kerajaan bersetuju memperuntukkan bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 untuk rakyat tempatan dan warga asing berjumlah RM10 juta yang memperolehnya melalui PICK.

Adham berkata, peruntukan itu membabitkan dua kategori bantuan iaitu RM50,000 bagi penerima yang menerima kesan sampingan serius dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.

“Bantuan khas kewangan itu bagaimanapun perlu dinilai terlebih dahulu oleh tiga jawatan kuasa khas yang turut ditubuhkan.

“Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya