ARAU: Banyak kedai makan termasuk restoran-restoran terkenal di negeri ini mencari ikhtiar lain dalam meneruskan survival perniagaan mereka yang terkesan teruk berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kebanyakan para peniaga mula mengambil inisiatif menjalankan perniagaan di tepi-tepi jalan selepas ada dalam kalangan mereka yang terjejas sehingga 80 peratus hasil pendapatan khususnya apabila dine-in atau makan di kedai masih tidak dibenarkan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan inisiatif salah sebuah hotel terkenal negeri ini iaitu Hotel Brasmana yang membuka kiosk menjual nasi kukus ayam berempah di tepi jalan di Kuala Perlis.
Selain itu, pemilik restoran makanan barat terkenal, Chortiez & Co pula terpaksa mencari idea baharu dengan menjual ‘kopi gantung’ di tepi jalan yang tanpa disangka-sangka mendapat sambutan hebat dalam tempoh singkat, sekali gus berjaya membantu perniagaan selepas terjejas teruk sepanjang PKP ini.
Seolah-olah menjadi trend, sebuah lagi restoran terkenal iaitu Asputra Ikan Bakar di Kuala Perlis turut mengikut jejak langkah sama dengan membuka tiga kiosk kecil menjual sotong goreng tepung di tepi jalan di sekitar negeri ini.
Pemilik restoran tersebut, Mohd. Fahimie Hassan, 30, berkata, pendapatan daripada restoran yang diusahakan bersama abang dan seorang lagi rakan mereka terjejas teruk sehingga 80 peratus berikutan pelaksanaan PKP.
“Apabila PKP, jualan kami yang sebelum ini sudah pun terjejas akibat larangan rentas negeri terus menunjukkan penurunan. Ini kerana, restoran ikan bakar juga sebahagian daripada produk pelancongan di negeri ini.
“Kami yang mempunyai 17 pekerja kemudian merombak kembali model perniagaan dengan menambah lagi kiosk di tepi jalan menjual sotong goreng tepung iaitu di Kuala Perlis, Beseri dan Arau semasa PKP ini.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima dengan berniaga di tepi jalan ini sangat baik dan bulan ini, Insya-Allah satu lagi kiosk akan dibuka di Jitra, Kedah pula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Mohd Fahimie, kekangan yang dihadapi semasa PKP menjadikan pengusaha-pengusaha restoran perlu memikirkan idea lebih kreatif serta menukar mod perniagaan bagi mencari pendapatan.
Sementara itu, Pengurus Chortiez & Co, Mohd. Fakhruddin Abd. Latif. 37, berkata, langkahnya menjual ‘kopi gantung’ di tepi jalan berjaya membantu perniagaannya yang terjejas teruk semasa PKP.
Katanya, apabila tidak dapat makan di restoran, orang ramai lebih gemar membeli di tepi jalan sahaja kerana ia lebih cepat berbanding membuat tempahan dan menunggu untuk dibungkus dibawa pulang.
“Dengan kiosk kami pun ada disediakan makanan yang sudah siap dibungkus seperti spaghetti dan sebagainya selain minuman kopi gantung.
“Baru-baru ini juga kami sudah tambah satu lagi cawangan iaitu di Padang Besar. Pada masa yang sama, kami juga dapat membantu orang lain yang turut meletakkan makanan mereka di kiosk kami untuk dijual,” ujarnya. – UTUSAN










