PUTRAJAYA: Sarawak perlu menentukan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 sebaik sahaja tempoh darurat tamat secara automatik pada 1 Ogos ini.
Tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya matang pada 6 Jun lalu, namun, dilanjutkan sehingga proklamasi darurat tamat di bawah peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pihaknya sudah bersedia pada bila-bila masa dan akan melaksanakan suatu pilihan raya seperti termaktub dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, parti-parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah bersedia berdasarkan kepada khidmat bakti wakil-wakil rakyat di lapangan sejak sekian lama.
Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, ahli-ahli parti politik Sarawak perlu memikirkan cara untuk mereka mengendalikan proses pengundian mengikut norma baharu.
Jelasnya, keadaan amalan prosedur operasi standard (SOP) berbeza dari hari ke hari, malah, pihak parti juga perlu bersiap sedia cara berkempen dalam norma baharu dan melatih ahli-ahli parti bagaimana sekiranya mereka hendak memberi latihan bersesuaian kepada ahli-ahli parti.
“Sarawak sangat beruntung kerana kedua-dua pihak parti kerajaan dan parti pembangkang sudah mengetahui akan kedatangan hari besar di Sarawak iaitu tarikh pilihan raya yang akan datang pada bila-bila masa sahaja.
“Di pihak kerajaan pula, perlu pastikan rakyat yang sudah divaksinasi mencapai tahap imuniti kelompok. Begitu juga di pihak rakyat, perlu memastikan keluarga mereka juga sudah mendapat dua dos vaksinasi,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Nancy yang merupakan Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, semua pihak sama ada pemerintah, parti politik dan masyarakat secara umumnya hendaklah memainkan peranan mereka untuk menghadapi pilihan raya negeri pada masa yang akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.
Sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal, beliau berkata, sebagai calon dan wakil rakyat, keadaan politik semakin mencabar dan perlu berlaku adil kepada parti yang diwakili yang mana boleh memainkan peranan di dalam DUN mahupun Dewan Rakyat.
SPR sebelum ini memutuskan PRN Sarawak ditangguhkan pada tarikh yang difikirkan sesuai.
SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung dengan tamat tempoh DUN yang ke-18 itu pada 6 Jun lalu.
Pada PRN Sarawak Ke-11 lalu, Barisan Nasional (BN) menang besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, manakala pembangkang memenangi 10 kerusi yang ditandingi, dengan DAP menang tujuh daripadanya.
PKR yang bertanding di 41 kerusi, hanya mampu mengekalkan tiga kerusi yang dimenanginya sebelum ini iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba’kelalan. – UTUSAN










