fbpx

Tema Hari Kebangsaan 2021 kekal, Malaysia Prihatin

SAIFUDDIN ABDULLAH

PUTRAJAYA: Malaysia Prihatin sekali lagi dikekalkan sebagai tema Hari Kebangsaan 2021 pada akhir bulan depan, dengan sambutan rasmi juga dalam norma baharu seperti tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu disesuaikan dengan suasana wabak Covid-19 ketika ini.

“Kita (penganjur) akan membuat secara sederhana macam tahun lalu dan lokasi sambutan peringkat nasional juga dibuat di Dataran Pahlawan, Putrajaya seperti pada tahun lepas,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas sesi turun padang secara maya bersama 39 petugas Telekom Malaysia (TM) hari ini.

Tema Malaysia Prihatin dan logonya itu mula diperkenalkan ketika lawatan kerja rasmi beliau ke Kuching, Sarawak pada 10 Julai tahun lalu bersempena sambutan Bulan Kebangsaan 2020.

Logo berbentuk hati dengan corak bendera Jalur Gemilang itu melambangkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat berbilang kaum tabah dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat nasional bakal dilancarkan rasmi di Kuala Terengganu, Terengganu yang dijangka sekitar pertengahan bulan ini.

“Bagaimanapun, sekiranya ada perubahan saat-saat akhir, ia mungkin akan ditangguh kepada minggu pertama bulan depan dengan lokasi pilihan kedua iaitu di Putrajaya pula,” jelas beliau.

Keadaan itu ujarnya, mengambil kira keadaan terkini Covid-19 malahan tahun lepas, sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos juga terpaksa ditukar dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Sementara itu tambahnya, sambutan Hari Malaysia 2021 pula akan berlangsung di Sabah selepas giliran Sarawak sebagai tuan rumah perayaan berkenaan pada 16 September tahun lalu.

Perkara berkenaan turut dipersetujui kerajaan Sabah menerusi mesyuarat bersama antara beliau sendiri dengan Timbalan Ketua Menteri negeri tersebut, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Lokasi sambutan pada kali ini kata Saifuddin, dicadangkan berlangsung di dewan utama Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu dan turut diadakan dalam norma baharu.

“Namun, kita juga kena sedia dengan pelan B dan C sekiranya pelan A ada masalah sebab tidak boleh jangka apakah yang mungkin berlaku dalam masa dua bulan akan datang,” katanya.

Begitu juga ujarnya, perbarisan di Dataran Pahlawan, setakat ini belum pasti sama ada dibuat 30 minit sahaja atau satu jam atau boleh dua jam kerana bergantung penilaian risiko semasa.

Ini termasuk acara Ambang Merdeka pada malam 30 Ogos yang kemungkinan besar juga ditiadakan seperti tahun lalu susulan kebimbangan penularan wabak Covid-19 di lokasi sambutan.- UTUSAN ONLINE

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!