IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan masjid di negeri ini menerima bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan berkuat kuasa solat Maghrib esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, baginda memberikan perkenan selepas berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan garis panduan operasi (SOP) ditetapkan dan berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa negeri.
Menurutnya, semua surau termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat.
Beliau berkata, semua masjid dan surau juga boleh mendirikan solat sunat Aidiladha dengan menerima bilangan jemaah mengikut keluasan dewan solat utama.
“Solat sunat Aidiladha dibenarkan di tempat terbuka dalam kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha di balai atau pondok polis terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Annuar Zaini, solat jenazah dibenarkan di masjid dan surau namun hanya jemaah lelaki dibenarkan dan terbatas kepada ahli kariah.
Beliau berkata, kuliah ilmu dibenarkan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai Maghrib sementara menanti waktu Isyak dan tidak melebihi 30 minit sementara menanti azan solat Jumaat.
“Untuk solat Jumaat dan solat jenazah, hanya jemaah lelaki yang dibenarkan, warganegara dan penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas.
“Bagi solat fardu dan solat sunat Aidiladha dibenarkan jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas,” katanya.
Menurutnya, kumpulan berisiko tinggi terutama yang menghidap penyakit tertentu, dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau. \
Beliau berkata, aktiviti jamuan dalam masjid dan surau tidak dibenarkan.
“Tidak dibenarkan sebarang aktiviti, termasuk solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah di masjid dan surau yang terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Annuar Zaini berkata, Orang Besar Jajahan, Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah diberi kuasa untuk mengarahkan masjid atau surau ditutup sementara atas nasihat MKN, Jabatan Kesihatan dan PDRM jika berlaku penularan wabak dalam kariah atau mukim berkaitan.
“Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan menurut yang ditetapkan,” katanya.
Annuar Zaini berkata, Sultan Nazin memahami hasrat umat Islam yang mahu mengimarahkan rumah Allah dan beribadah secara berjemaah.
Beliau berkata, titah perkenan Baginda menetapkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini.
“Dalam memenuhi hasrat tersebut, Baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










