‘Rujuk pada undang-undang dan Perlembagaan’ - Hasni - Utusan Malaysia

‘Rujuk pada undang-undang dan Perlembagaan’ – Hasni

HASNI Mohammad (kanan) ketika menandatangani plak perasmian Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang diisytiharkan sebagai majlis perbandaran keenam di Ruang Legar MPPn di Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Perbalahan berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan semasa persidangan Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu perlu dirujuk kepada Perlembagaan yang menjadi asas pembentukan negara sejak merdeka lalu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, tidak sepatutnya timbul sebarang keraguan berhubung dengan peranan Institusi Diraja dan kerajaan kerana peranan kedua-duanya telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

Katanya, apa yang perlu diberikan perhatian dan penelitian ketika ini oleh kerajaan adalah berkaitan pengisytiharan darurat, perjalanan persidangan Parlimen serta pentadbiran kerajaan negeri.

“Sekiranya timbul sebarang persoalan, undang-undang dan Perlembagaan merupakan rujukan yang penting untuk semua pihak kembali kepada asas bagi merungkai segala permasalahan.

“Marilah kita kembali kepada asas undang-undang dan Perlembagaan yang menjadi rujukan sejak kemerdekaan lagi yang tentunya ada jalan penyelesaian terbaik untuk kita semua,” katanya selepas Pengisytiharan Majlis Daerah Pontian (MDP) kepada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil; Pegawai Daerah Pontian, Mohd. Rafi Abdullah dan Yang Dipertua MPPn, Mohd. Ezzuddin Sanusi.

Istana Negara pada Khamis lalu memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen walhal perkara itu belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lepas, tidak tepat dan mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Terdahulu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut mengisytiharkan MPPn sebagai majlis perbandaran keenam di Johor dengan melancarkan logo baharunya serta membaca pengisytiharan yang berkuat kuasa pada 31 Julai.

Sempena pengisytiharan tersebut, MPPn telah diperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi Program Bakul Prihatin kepada penduduk di kawasan pentadbirannya serta mereka yang layak menerima.

Sempena majlis tersebut juga, Hasni turut menyampaikan bantuan one-off kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sebanyak RM9.7 juta dan RM1.3 juta lagi kepada pengusaha salon dan kedai gunting rambut yang diterima oleh Ayub. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN