GEORGETOWN: Seorang peniaga durian antara empat individu yang diberkas polis dipercayai menganggotai sindiket pengedaran dadah dan pil ekstasi membabitkan rampasan bernilai RM398,352 dalam beberapa serbuan di sini sejak dua hari lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut membongkar sebuah makmal memproses pil ekstasi di sebuah rumah teres tiga tingkat di Bukit Gambir, Gelugor dekat sini dan menahan seorang wanita warga China berusia 32 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, sindiket itu terbongkar selepas polis menahan peniaga durian berusia 29 tahun di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Pinang dekat sini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah pil Erimin 5 dan ekstasi, serbuk MDMA, ketamin dan ganja bersama lelaki berkenaan.
Penahanan lelaki itu ujarnya, membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 39 dan 42 tahun di dalam sebuah kereta jenis Nissan Sentra di Jalan Perak di sini dan merampas sejumlah pil Erimin 5.
“Susulan serbuan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat dan pemeriksaan di bahagian dapur menemukan pil Erimin 5 dan ekstasi, syabu dan serbuk MDMA.
“Selain itu, kita turut merampas mesin dan peralatan memproses pil ekstasi di rumah yang didiami wanita warga China itu yang merupakan teman wanita ketua sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kesemua rampasan daripada sindiket itu melibatkan sebanyak 1,470 biji pil erimin 5; serbuk MDMA (6,219 gram); syabu (23 gram) serta ketamin dan ganja masing-masing 1.5 dan 11 gram.
Turut disita katanya, barang kemas serta sebuah kereta jenis Honda City bernilai RM28,340 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM426,692.
Tambah beliau, keseluruhan dadah itu sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh seramai 22,347 penagih dan polis kini sedang giat mengesan anggota sindiket berkenaan yang dipercayai masih bebas.
“Kesemua tangkapan direman selama lima hari sehingga 6 Julai ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE










