BUKIT MERTAJAM: Prihatin dengan nasib yang menimpa lebih 3,000 penduduk di Taman Nagasari di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare Bhd. tampil menghulurkan bantuan.
Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, dia dimaklumkan mengenai situasi semasa di kawasan yang dikenakan perintah berkurung selama dua minggu bermula kelmarin itu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.
Katanya, sebaik sahaja menerima panggilan telefon daripada Hsiao Leung sehari sebelum PKPD itu bermula, pihaknya mempersiapkan sebanyak 340 set kotak makanan dalam masa dua hari untuk diagihkan.
“Bekalan makanan ini penting kerana golongan yang terlibat dengan PKPD ini tidak boleh diketepikan kerana aktiviti perniagaan dan sosial telah diperketatkan.
“Pada masa sama, mereka juga mungkin tidak akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi,” katanya di sini hari ini.
Sui Hau memberitahu, antara barangan yang disumbangkan dalam kotak makanan itu termasuk serbuk Milo dan Nescafe, kacang merah di dalam tin, sardin, mentega dan minuman bijiran segera Nestle.
Ujarnya, turut disumbangkan ialah jem kacang, tin yang mengandungi pelbagai jenis biskut, pek mi segera, oat, pelitup muka serta alat sanitasi tangan.
“One Hope Charity berterima kasih kepada orang ramai yang sentiasa menderma dan memberi kepercayaan kepada kami dalam menjayakan misi bantuan khas seperti ini.
“Bagi mereka yang ingin memberi sumbangan terhadap golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh melayari laman web kami di www.onehopecharity.com atau mengunjungi laman Facebook kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE










