KULAI: Penduduk sekitar Kampung Baru, Sengkang di sini mendakwa bau busuk dipercayai daripada tumpahan sisa kimia daripada sebuah stor simpanan haram di sini masih berlaku.
Walaupun pihak berkuasa bertindak cepat mengatasi masalah itu, tetapi beberapa penduduk mendakwa bau busuk masih dapat dihidu pada waktu malam berbanding waktu siang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Haider Reduan, 34, berkata, mereka memang mengharapkan tindakan segera diambil kerana tidak mahu kejadian itu mengganggu urusan harian penduduk setempat.
“Kami bersyukur pihak berkuasa telah mengambil tindakan pantas selepas mendapat tahu berhubung tumpahan sisa kimia berkenaan, ini boleh dilihat daripada air sungai yang sudah tidak lagi kehitam-hitaman.
“Namun dalam masa sama, kami tetap berharap pemantauan berterusan dapat dibuat serta kerja pembersihan dapat diteruskan kerana masih ada sisa kimia yang dikesan tersangkut di tepi-tepi sungai dan semak samun berhampiran.
“Tambahan pula penduduk menggunakan sungai berkenaan untuk mengairi kebun-kebun sawit mereka melalui sistem perparitan yang dibina,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azlina Johari, 42, pula memberitahu, walaupun air di sungai berkenaan sudah semakin pulih dan kelihatan seperti biasa, namun bau busuk masih dikesan lebih-lebih lagi pada waktu malam.
“Sejak bau busuk itu dikesan penduduk, saya telah membawa ibu yang berusia 61 tahun untuk tidur di rumah saya di Taman Tropika, Kulai selama tiga malam berturut-turut.
“Pada waktu siang hari bau busuk itu memang seperti sudah tiada dan warna air sungai juga sudah kembali pulih, tetapi pada malam hari bau busuk tersebut akan muncul semula.
“Jika malam ini keadaan masih sama saya akan sekali lagi bawa ibu saya untuk tidur di rumah saya,” katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah berhampiran.
Sehubungan itu, Azlina turut berharap pihak berkuasa dapat menangani masalah itu sepenuhnya kerana dia bimbang kesan jangka masa panjang akibat daripada pencemaran bahan kimia tersebut.
“Sebelum ini kami dengar macam-macam perkara melibatkan kejadian pencemaran di Pasir Gudang beberapa tahun lalu, kami bimbang sekiranya perkara sama berlaku pula di sini,” katanya.- UTUSAN ONLINE










