KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan Jabatan Pertanian Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan menerima wang berjumlah RM56,200 tanpa balasan di antara 2023 dan 2025.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Ketua Penolong Pengarah, Mohamad Nizam Malik, 49, didakwa menerima wang berjumlah RM25,700 melalui pemindahan wang dalam talian daripada Pengerusi Koperasi Usahawan Alam Shah Berhad (KOSHAH), Zainal Md. Nadzri tanpa balasan pada 5 Mac dan 10 April 2025 di Ambank cawangan Shaftsbury Putrajaya Avenue, Putrajaya.
Bagi pertuduhan ketiga hingga ke-11, lelaki berkenaan didakwa menerima wang berjumlah RM30,500 tanpa sebarang balasan daripada Pengarah Syarikat Orchidmas Sdn. Bhd., Shiz Mohammad Mohd Kassim melalui seorang individu bernama Niz Adira Maris Mohd Nazlimaris antara 9 Mac 2023 dan 4 April 2024 di Presint 14, Putrajaya.
Kesemua perbuatan didakwa dilakukan oleh Mohamad Nizam yang ketika itu bertugas di Bahagian Pembangunan Industri Tanaman, Jabatan Pertanian Putrajaya walaupun mengetahui bahawa Zainal dan Shiz Mohammad mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi yang dilakukannya.
Pertuduhan-pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa, Safari Abdullah mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai, lapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat dan tidak mengganggu mana-mana saksi.
Peguam bela, Ariffin Wahab yang mewakili Mohamad Nizam, memohon jumlah ikat jamin sebanyak RM8,000 atas alasan anak guamnya telah diisytiharkan muflis dan telah digantung tugas.
Tambahnya, anak guamnya turut menanggung lima orang anak, tiga daripadanya masih menuntut di institut pengajian tinggi awam.
“Mohon mengambil kira tempoh perkhidmatan tertuduh selama 25 tahun dan pernah berkhidmat di beberapa negara luar seperti Jepun dan Jerman,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin dan turut membenarkan syarat-syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Jun ini.-UTUSAN










