Pasukan khas ditubuh bagi tangani krisis Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Pasukan khas ditubuh bagi tangani krisis Harimau Malaya

Spesies ikonik ini berdepan ancaman kepupusan yang serius- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bakal menubuhkan Pasukan Khas Pemuliharaan Harimau Nasional (NTCTF) bagi menangani krisis kemerosotan haiwan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, badan ini akan mengadakan mesyuarat pertama bersama pelbagai kementerian dan kerajaan negeri dalam masa terdekat susulan persetujuan jemaah menteri pada 16 Jun lalu berhubung dengan tindakan strategik bagi usaha konservasi Harimau Malaya untuk tempoh pelaksanaan 10 tahun sehingga 2030.

“Selain itu, Unit Konservasi Harimau Malaya dicadang bakal ditubuhkan melalui perbincangan lanjut bersama agensi-agensi yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan  hari ini.

Unit itu ujar beliau, disaran untuk diletakkan di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia.

Langkah itu katanya, dibuat susulan laporan Bancian Harimau Kebangsaan Pertama (NTS-1) dari 2016 hingga tahun lalu mendapati populasi haiwan ini berada pada tahap amat serius.

Dapatan ini jelasnya, menunjukkan kementerian itu perlu menerajui segala tindakan luar biasa demi memastikan Malaysia tidak kehilangan spesies ikonik tersebut buat selama-lamanya.

“Justeru satu kumpulan pakar telah ditubuhkan oleh kementerian yang terdiri daripada pakar konservasi termasuk pihak Taman Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Shamsul Anuar.

 Mereka akan memberi input berkaitan tindakan strategik dan inisiatif aspek pemeliharaan dan pemuliharaan habitat serta aktiviti penguat kuasaan yang lebih berimpak tinggi dilaksanakan.

 Usaha tegas ini ujarnya, termasuk rondaan dan pengawalan di kawasan habitat Harimau Malaya bagi membanteras kegiatan penceroboh dan pemburu haram di Semenanjung Malaysia.

 Pihak kementerian itu turut melaksanakan proses pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 agar kadar hukuman dan penalti yang lebih berat dikenakan untuk pesalah yang terlibat.

 “Pindaan ini dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang selain enakmen berkaitan kawasan perlindungan sebagai antara pendekatan pencegahan awal,” jelas beliau.

 Shamsul Anuar menambah, di peringkat rantau Asia Tenggara, aspek itu bakal diperkasakan pula melalui platform Kumpulan Kerja ASEAN dan pasukan penguatkuasaan hidupan liar.

 Kerjasama serantau itu sejajar Konvensyen Pemerdagangan Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar Antarabangsa 1973 yang yang ketika ini sudah pun diratifikasi 183 buah negara.

 Malaysia juga ujar beliau, menjalinkan kerjasama erat dalam aktiviti penguatkuasaan dan perkongsian maklumat risikan dengan Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) sejak 2016.

 “Bagi jamin kesinambungan kompleks hutan, kementerian ini akan mengukuhkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha pengekalan habitan keliaran Harimau Malaya,” katanya.

 Kementerian itu juga bakal memperkasakan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan di bawah Perhilitan bagi memperhebatkan pengawasan penyakit zoonotik melibatkan harimau.

 Usaha itu tambahnya, amat kritikal kerana populasi haiwan ini di habitat semula jadi sangat rendah dan memerlukan tanggungjawab bersama menyelamatkannya daripada kepupusan.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya