Parti dominan tersungkur jika tiada calon muda - Utusan Malaysia

Parti dominan tersungkur jika tiada calon muda

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemunculan 5.94 juta pengundi muda baharu boleh mengubah landskap senario politik tanah air apabila mereka dijangka menolak calon-calon kitar semula atau lama dalam kertas undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Md. Akbal Abdullah berkata, generasi muda kini dilihat mula bosan dengan gelagat pemimpin lama yang mewarnai politik tanah air sehingga menyebabkan corak pentadbiran kerajaan masih pada takuk lama.

Katanya, tidak dinafikan kemunculan blok ketiga menerusi kewujudan parti baharu oleh orang muda berpunca akibat penolakan amalan politik elit yang masih didominasi dalam kalangan pemimpin veteran.

“Tidak kira UMNO, Pas mahupun PKR dan DAP sendiri dengan rata-rata pemimpin mereka masih sama walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bertapak dalam pentas politik. Ini menyebabkan pengundi muda kini menyampah dengan gelagat dan sikap pemimpin berkenaan.

“Jadi orang muda menubuhkan parti baharu sebagai faktor penolakan budaya politik lama apatah lagi mereka dikatakan bakal penentu utama hala tuju negara pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan pengundi muda dan atas pagar dijangka menjadi penentu hala tuju politik negara pada PRU-15 dengan kemunculan 5.94 juta pemilih dalam kumpulan umur 21 hingga 39 tahun yang diwartakan setakat 24 Mei lalu.

Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) suku pertama tahun ini yang diperoleh Utusan Malaysia, terdapat pertambahan kira-kira setengah juta pengundi baharu, menjadikan keseluruhan 15,361,052 pemilih yang layak mengundi jika PRU diadakan pada tahun ini.

Namun Md. Akbal berpandangan parti-parti lama seperti UMNO, Pas, PKR dan DAP sendiri perlu memperbanyakkan pemimpin dan calon muda sekiranya mereka ingin relevan dalam perjalanan politik tanah air.

Katanya, sekiranya parti-parti masih mengetengahkan pemimpin lama dan calon kitar semula, tidak menolak kemungkinan mereka akan akan tersungkur pada pilihan raya akan datang.

“Namun dalam soal ini saya juga melihat parti orang muda masih belum pergi jauh untuk meraih sokongan dan memimpin negara kerana masyarakat masih melihat kepada rekod dan pengalaman sesuatu parti itu sendiri.

“Oleh itu orang muda wajar menyertai parti-parti dominan supaya mereka dapat bertapak dalam percaturan politik tanah air dan pergi lebih jauh untuk menjadi pemimpin negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berpendapat, PRU-15 bakal menyaksikan persaingan sengit kerana bukan sahaja melibatkan parti-parti lama namun parti baharu atau blok ketiga yang mula didominasi generasi muda.

Katanya, laluan parti muda untuk menang pilihan raya agak sukar melainkan mereka membentuk kerjasama politik selepas keputusan diumumkan kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN