PUTRAJAYA : Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) mengenal pasti tindakan yang perlu segera diambil bagi menangani isu berkaitan peningkatan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan beban pada sistem penjagaan kesihatan di Lembah Klang.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, strategi pertama ialah Hospital Selayang ditukarkan sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 bagi kawasan Lembah Klang.
Untuk itu, kata beliau, pesakit bukan Covid-19 di hospital berkenaan dipindahkan ke hospital swasta di wilayah tersebut untuk meningkatkan kapasiti katil pesakit Covid-19 yang berada pada Kategori 3, 4 dan 5.
” ‘Operasi Selayang’ telah dimulakan dan akan selesai dalam masa 48 jam untuk menyediakan sebanyak 450 katil bagi kegunaan pesakit Covid-19,” katanya.
Chee Kheong yang juga Ketua pasukan petugas khas itu berkata, strategi kedua ialah memberikan perhatian penuh bagi memastikan jangkaan keperluan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu.
Katanya, ujian Covid-19 akan lebih mengutamakan individu yang bergejala, namun, semua kes simptomatik Covid-19 ini masih perlu dinilai sama ada secara atas talian atau pun secara fizikal di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan.
Beliau menjelaskan, bagi kes positif yang tidak bergejala (asymptomatic) pula diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara atas talian dengan menggunakan Home Assesment Tools di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah.
“Kontak rapat kepada kes positif yang tidak bergejala digalakkan melakukan ujian pantas Covid-19 sama ada di klinik berhampiran atau pun menggunakan kit ujian kendiri dan melakukan pengasingan diri di rumah.
“Langkah ini diambil supaya pengurangan kes Covid-19 dapat dilakukan di wilayah ini dan mengelakkan daripada keadaan menjadi tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata, dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan diri di rumah, diharapkan agar kes-kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera manakala kontak yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri.
Katanya, langkah ini dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas.
“Bagi dewasa yang layak adalah digalakkan untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Pasukan (GKVSTF) ditubuhkan bagi memberi tumpuan penuh kepada perkara seperti Penjagaan Klinikal; CAC dan Pemantauan Kendiri di Rumah; Epidemiologi; Logistik Perubatan dan Umum; Sistem Sokongan Sosial bagi Petugas Hadapan; Sumber Manusia dan Kewangan; dan Komunikasi Strategik. – UTUSAN ONLINE