PUTRAJAYA : Operasi pejabat kerajaan bagi Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara hibrid melalui keberadaan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, bagi lima negeri itu, kehadiran di pejabat tidak melebihi 40 peratus bagi keseluruhan dan 60 peratus BDR secara penggiliran.
Beliau berkata, kehadiran di pejabat itu bagaimanapun tidak terpakai bagi perkhidmatan petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.
“Selain itu, semua mesyuarat dan perbincangan pula dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zuki berkata, perkhidmatan kaunter adalah dibuka dan ia tertakluk seperti mana arahan pada 29 Jun lalu.
“Kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Katanya, arahan itu juga terpakai bagi mana-mana negeri yang akan beralih ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa dua.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan peralihan PPN fasa dua bagi Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa esok. -UTUSAN ONLINE










