Malaysia hargai sumbangan vaksin Covid-19 dari Britain - Utusan Malaysia

Malaysia hargai sumbangan vaksin Covid-19 dari Britain

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hubungan erat antara Malaysia dan Britain terus diperkukuhkan lagi menerusi sumbangan ihsan vaksin Covid-19 dari negara berkenaan untuk program imunisasi negara ini.

Berita gembira tersebut dimaklumkan oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berterima kasih atas keprihatinan kerajaan Britain menerusi bantuan itu.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan penghargaan tulus kepada rakan sejawatan, atas sumbangan untuk program vaksinasi kami,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk pengumuman Setiausaha Hal Ehwal Luar dan Komanwel Britain, Dominic Raab hari ini yang menyatakan kesediaan negara itu memberi sumbangan vaksin kepada Malaysia.

Ia melibatkan pemberian sejumlah 415,000 dos vaksin keluaran firma Britain, AstraZeneca dan bakal dihantar dalam masa terdekat susulan situasi wabak Covid-19 di Malaysia pada ketika ini.

Pemberian itu sekali gus menjadikan Britain sebagai negara penyumbang keempat selepas China, Jepun dan terkini, Amerika Syarikat dengan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada 5 Julai lalu.

Sumbangan terbaharu Britain itu dijangka membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan mencapai sasaran imuniti berkelompok lebih awal menjelang akhir tahun.

Mengulas lebih lanjut, Hishammuddin berkata, beliau ketika berbual dengan Raab baru-baru ini ada dimaklumkan hasrat kerajaan Britain yang prihatin dengan senario lonjakan kes di Malaysia.

“Justeru, beliau melahirkan harapan agar sumbangan vaksin ini dapat meredakan keadaan pandemik di samping mengukuhkan lagi kerjasama secara dua hala dalam pelbagai bidang,” jelasnya.

Malaysia tambah beliau, turut amat berterima kasih atas sokongan tidak ternilai Britain dan yakin, kedua-dua negara dapat bekerja lebih erat serta produktif dalam mendepani segala rintangan.

Beliau Dalam nada optimis, malah menyifatkan kolaborasi yang dijalin itu akan dapat dilanjutkan pula menerusi pelan vaksinasi lebih bersepadu dan gelembung perjalanan secara timbal balas.

Selain empat buah negara itu, Malaysia juga menerima vaksin melalui akses fasiliti Covax di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melibatkan 828,000 dos pelbagai jenama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya