PETALING JAYA: Kementerian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) komited memperkasakan kawalan biosekuriti selaras dengan agenda sekuriti makanan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, pihak kementerian juga sedang mengkaji cadangan mewujudkan Pusat Kuarantin Setempat (OSQC) selaras dengan agenda sekuriti makanan negara.
“Penubuhan Pusat Kuarantin Setempat atau One Stop Quarantine Centre (OSQC) bakal menggalakkan lagi perkembangan ekonomi dan perniagaan, namun, masih memerlukan kajian lebih tepat.
“Ini termasuklah produk agromakanan dan e-dagang serta meningkatkan kebolehpasaran produk agromakanan negara di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Selain daripada pembangunan infrastruktur dan fasiliti, kata Ronald, projek ini juga akan melibatkan cadangan pembangunan sistem teknologi maklumat tersendiri untuk membantu proses traceability dan automasi akan digunakan.
“Buat masa ini, negara tidak mempunyai satu pusat kuarantin setempat sebegini yang dilengkapi dengan teknologi-teknologi terkini bagi membolehkan pemeriksaan komprehensif dilakukan.
“OSQC yang memenuhi standard antarabangsa sedang dikaji untuk dibangunkan di pintu masuk negara bagi memastikan setiap dagangan agromakanan melalui proses pemeriksaan (inspection) dan kuarantin (quarantine) yang komprehensif di pintu masuk sebelum diimport masuk atau dieksport keluar negara,” katanya.
Pihak MAFI hari ini turut menyerahkan sumbangan di bawah program MAFI Prihatin berupa produk daging sejuk beku yang dibawa masuk secara tidak sah dari pelbagai negara dengan keseluruhannya berjumlah 54 tan metrik dengan nilai rampasan sebanyak RM1.5 juta.
Kesemua serahan itu adalah hasil daripada sitaan terhadap pengimportan keluaran pertanian yang telah melalui proses lucut hak di bawah kesalahan Seksyen 11 (1) dan 15 (1), Akta 728. -UTUSAN ONLINE










