Letih punca suntik picagari kosong - Utusan Malaysia

Letih punca suntik picagari kosong

DR. NOOR Azmi Ghazali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kes picagari kosong ketika memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima mungkin disebabkan petugas kesihatan yang terlibat berada dalam keletihan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, berikutan itu petugas kesihatan yang mengalami keletihan diminta memaklumkan keadaan mereka itu agar mereka dapat direhatkan.

Menurutnya, ketika ini, petugas kesihatan berada dalam keletihan setelah lebih setahun bertugas disebabkan wabak Covid-19 dan sudah tentu mereka perlukan rehat.

Beliau berkata, isu berkaitan penggunaan picagari kosong yang ditularkan ada tiga kes dan ia masih dalam siasatan polis manakala bagi kes di Sungai Petani, petugas kesihatan yang terlibat telah diberikan teguran dan tindakan.

“Pada pendapat saya, jika mereka (petugas kesihatan) letih, mereka mesti bercakap, kongsi masalah dan jangan diamkan sahaja, mereka perlu meminta direhatkan.

“Kerana kalau letih namun diteruskan juga, maka, kerja akan jadi tidak produktif, tidak terbaik. Kita bimbang kerana pemberian vaksin ini satu perkara yang sangat serius kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa orang.

“Kalau kesilapan itu berlaku disebabkan letih, petugas kesihatan patut rehat, namun, kalau disengajakan, ia perkara yang sangat jahat dan tindakan sepatutnya perlu diambil jika terbukti,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di sini hari ini.

Mengenai dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual seorang anggota keselamatan yang bertugas di sebuah PPV di Johor Bahru, Noor Azmi berkata, beliau maklum mengenai kes itu dan mangsa telah membuat laporan polis.

“Sudah pasti kalau ada perkara yang tidak baik dan tak betul dilakukan, tindakan mesti diambil.

“Cuma, saya nak ingatkan, kita semua datang ke PPV dengan satu niat iaitu untuk bekerjasama menghapuskan wabak Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, polis sudah merakam keterangan seorang wanita berusia 32 tahun dari Batu Pahat yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang anggota keselamatan yang bertugas di sebuah PPV di Johor Bahru, baru-baru ini.

Ini susulan laporan sebuah portal seorang anggota keselamatan didakwa membuat gangguan seksual dengan melakukan isyarat lucah dan jenaka terhadap seorang wanita yang datang untuk janji temu vaksin.

Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah ketika menerima vaksin dan dilayan dengan profesional oleh petugas kesihatan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya