JOHOR BAHRU: Sebanyak 77 kompaun bernilai keseluruhan RM770,000 atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sempena pelaksanaan Op Patuh bagi dua hari pertama di negeri ini yang bermula kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah terbabit, 48 kompaun dikenakan terhadap perbadanan atau pemilik premis, manakala 29 kompaun kepada pekerja atau pelanggan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak empat premis juga telah diarah tutup serta merta kerana melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) utama.
“Bermula 1 Julai lalu, polis Johor bersama-sama agensi lain telah memeriksa 120 buah premis yang dibenarkan beroperasi dengan 100 daripadanya adalah kilang, 14 premis lain, tiga pasar raya dan tiga terminal bas.
“Bagi dua hari ini, kita telah mengeluarkan lima kompaun membabitkan kesalahan kapasiti datang bekerja melebihi 60 peratus dan tiga kompaun kerana menyalahguna surat kebenaran.
“Kompaun tertinggi melibatkan tidak patuh SOP asas iaitu 42 kesalahan dan 27 lagi kompaun kerana langgar syarat akta kerajaan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, pihaknya komited untuk melaksanakan lebih banyak operasi seperti itu dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan kadar ketidakpatuhan masyarakat terhadap SOP yang boleh membawa kepada peningkatan kes Covid-19.
Sementara itu, beliau turut memberitahu operasi yang dijalankan melibatkan seramai 503 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta agensi lain.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung pelanggaran SOP ditetapkan kerajaan boleh menghubungi bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










