Jangan terpedaya gimik jualan murah - Utusan Malaysia

Jangan terpedaya gimik jualan murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Orang ramai diingatkan supaya jangan mudah terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah yang terdapat di internet berikutan ia tidak tertakluk kepada akta di negara ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan produk itu dijual dari laman web atau aplikasi tidak berdaftar dalam negara.

“Sesetengah produk yang dipromosikan di platform tersebut mempunyai kecenderungan untuk menyerupai produk berjenama.

“Jika pengguna terpengaruh, mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna daripada platform berkenaan sekiranya kualiti produk yang dibeli menerusi gimik jualan murah itu gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki pengguna,” katanya di sini hari ini.

SKMM berkata, sebagai langkah lebih selamat, orang ramai digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian.

Pada masa sama, SKMM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang digunakan ketika melakukan transaksi.

“Di samping itu, teliti juga syarat-syarat perkhidmatan dan polisi berkaitan dengan pembayaran balik dan pampasan ditetapkan penyedia platform e-dagang bagi melindungi diri daripada terdedah kepada risiko tidak diingini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN