Ismail Sabri 'jambatan' UMNO terajui negara - Penganalisis - Utusan Malaysia

Ismail Sabri ‘jambatan’ UMNO terajui negara – Penganalisis

DR. ACHMAD DZARIEAN MOHD. NADZRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) merupakan litmus test  kepada UMNO untuk melihat sejauh mana kepimpinan parti itu mampu mengembalikan keyakinan kepada rakyat sekali gus kembali mentadbir  negara.

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, ini seharusnya memberikan satu kelebihan atau semangat kepada ahli-ahli  dan ahli Parlimen UMNO bekerja keras atas kapasiti mereka untuk bersama-sama menyumbang tenaga dalam mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, beliau berkata, pelantikan Ismail Sabri bersama Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga satu pengiktirafan kepada UMNO dan mampu menjadi jambatan memulihkan ketegangan yang berlaku setelah keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang dizahirkan Presiden UMNO menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

“Walaupun kita tahu keputusan itu tidak membawa apa-apa implikasi, tetapi setelah keputusan itu dibuat dan pelantikan dua individu ini berlaku selepas itu, ia boleh meredakan ketegangan yang berlaku dan mampu menjadi jambatan penghubung  antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO yang berada dalam kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Achmad Dzariean berkata, pelantikan itu sepatutnya berlaku pada awal kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan kerana UMNO mempunyai bilangan ahli Parlimen teramai dalam PN. 

Katanya, walaupun kerusi Perdana Menteri diperuntukkan kepada Bersatu, tetapi seharusnya TPM datang daripada UMNO dan ini tidak berlaku.

Jelas beliau, apabila perkara itu tidak berlaku, maka ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada UMNO yang dilihat tidak mendominasi jawatan-jawatan utama yang sebelum ini dipegang UMNO dalam kerajaan lalu. 

“Apabila tidak ada posisi TPM dalam kerajaan PN, maka rakyat melihat peranan UMNO sudah diketepikan dalam pentadbiran kerajaan PN, tetapi apabila kerusi-kerusi menteri yang dipegang oleh UMNO memberikan prestasi baik, maka rakyat boleh melihat dan menilai bahawa prestasi menteri-menteri UMNO apabila diberi jawatan, mereka menunjukkan satu pencapaian baik.

“Maka sudah pastinya kerusi TPM diberi kepada UMNO itu satu langkah tepat dalam mengembalikan keyakinan ahli UMNO dan rakyat amnya untuk UMNO mengukuhkan parti mereka dalam usaha mentadbir negara pada satu hari nanti,” katanya.

Semalam,  Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menzahirkan rasa kesal apabila MT UMNO tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri apabila diumumkan dilantik TPM walaupun selepas mendapat restu Presiden parti.

Sebelum ini, ahli MT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah Armand mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan restu kepada Ismail Sabri untuk menerima jawatan TPM yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya