KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah melibatkan mereka berdua.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook masing-masing, Ahmad Zahid dan Muhyiddin bersetuju menyelesaikan pertikaian itu selepas mengambil kira saranan Mahkamah Tinggi di sini.
Keputusan itu juga dibuat selepas kedua-dua pemimpin politik berkenaan mempertimbangkan kesan saman tersebut kepada umum dan keadaan semasa negara terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.
“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Mahiaddin Mohd. Yassin (Muhyiddin) bersetuju dan mengambil keputusan menghentikan pertikaian peribadi mereka.
“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Mahiaddin Mohd. Yassin juga berharap agar keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak dan tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Pada 14 April 2023, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan perbicaraan kes saman fitnah itu selama 10 hari bermula 16 Oktober ini.
Ahmad Zahid memfailkan saman terhadap Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin pada 4 April 2022, berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bagan Datuk ada meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata pada 19 Oktober 2018, beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen di sini bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari 2022.
Ahli Parlimen Bagn Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud beliau telah menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan dan meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan.
Sementara itu, Muhyiddin dalam penyataan pembelaannya menyatakan, kenyataan yang dibuat adalah benar dan bukan fitnah.
Ujarnya, kenyataan yang dibuat sewaktu kempen itu dijustifikasikan sebagai benar dan merupakan komen adil serta berkepentingan awam.
Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak mempunyai kawalan dan tidak bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan itu yang dibuat oleh pelbagai media.
“Saya menyatakan bahawa tiada sebarang niat jahat daripada pihak saya dalam menerbitkan pernyataan tersebut. Secara khususnya saya menafikan bahawa penerbitan tersebut telah dibuat bertujuan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum,“ katanya. – UTUSAN










