ALOR SETAR: Kehilangan pendapatan setelah kedai perabot tempatnya meraih rezeki ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Roslan Bakar, 55, memilih untuk menjadi peniaga dodol lemak sejak dua bulan lepas.
Kata Roslan, dia terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup keluarganya.
“Saya terpaksa cari jalan lain lepas kedai perabot tempat saya bekerja ditutup. Saya suka masak dan saya fikir jual dodol paling sesuai.
“Cara buat dodol lemak ini saya belajar daripada Youtube sahaja dan cuba buat tak sangka menjadi,” katanya di sini hari ini.
Roslan yang menetap di Jalan Datuk Kumbar di sini berkata, dia tidak menyangka dodol itu mendapat sambutan yang agak menggalakkan dalam kalangan pelanggan walaupun baru menceburinya.
“Resipinya saya guna tepung, santan asli yang banyak dan gula merah saja. Itu yang buat dodol ini lemak dan lembut. Alhamdulillah setakat ini ramai yang puji dodol ini lembut dan lemak.
“Untuk Hari Raya Aidiladha ini saya kacau sebanyak 15 kilogram (kg) tepung mengikut tempahan,” katanya.
Menurut Roslan, dodol lemak berkenaan dijual secara dalam talian termasuk melalui laman media Facebook yang diurus oleh anak perempuannya, Rabiatul Adawiyah, 22.
“Insya-Allah kalau rezeki ada lagi saya harap dapat jual lebih banyak lagi dodol.
“Walaupun tidak lumayan tapi Alhamdulillah ada juga rezeki sepanjang PKP ini untuk tampung keluarga sepanjang PKP dan ramai yang tidak ada pekerjaan waktu ini,” katanya.
Sementara itu, Rabiatul Adawiyah pula berkata, PKP menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan kerja lain menyebabkan dia kini menumpukan perhatian memasarkan dodol lemak itu secara dalam talian.
“Nak cari kerja sekarang susah jadi saya tumpu ini saja bantu ayah jual dodol dalam Facebook berdasarkan tempahan daripada pelanggan,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menempah dodol lemak yang dimasak oleh Roslan boleh hubungi di talian 01124241866 atau menerusi Facebook Rabiatul Adawiyah.- UTUSAN ONLINE










