KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan tidak menolak kemungkinan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan mengetuai Perikatan Nasional (PN) selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai pengerusi berkuatkuasa hari ini.
Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md. Noor berkata, hal ini kerana hanya Pas dan Bersatu yang merupakan parti besar dalam gabungan berkenaan.
“Logiknya Pengerusi PN nanti adalah dari Pas. Mengikut perlembagaan PN, mereka yang mengetuai PN adalah ketua parti masing-masing dan jika PAS yang mengetuai PN nanti, sudah tentulah Abdul Hadi.
“Sebelum ini pun Muhyiddin pernah menawarkan jawatan berkenaan kepada Abdul Hadi, namun ditolak,” katanya kepada pemberita berkata selepas menyambut ketibaan pelancong di pintu masuk sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, hari ini.
Kamarudin memberitahu, pelantikan Pengerusi PN dijangka akan dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama ketua-tua parti mendapat kata sepakat.
Katanya, Bersatu tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Pengerusi PN yang dilantik nanti adalah dari Pas.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.-UTUSAN










