Hanya Che Zakaria pertahan Muhyiddin? - Utusan Malaysia

Hanya Che Zakaria pertahan Muhyiddin?

CHE ZAKARIA MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor sedia tarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor jika UMNO berterusan mendesak di peringkat Persekutuan kembali memanaskan suhu politik di negeri itu.

Dengan seorang daripada mereka iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd. Salleh mengesahkan secara terbuka bahawa beliau salah seorang daripadanya, kini timbul persoalan siapa pula tiga ADUN lagi yang menyuarakan hasrat sama.

Bukan setakat empat pemimpin Bersatu seperti kata Che Zakaria, enam atau lebih rakan-rakannya sedia berbuat demikian sekiranya UMNO terus mempermainkan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Perdana Menteri.

Selain Che Zakaria yang kini Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bersatu mempunyai lima wakil sebagai Exco dalam kerajaan Johor iaitu Mohd. Solihan Badri (Tenang); Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai); Datuk Mohd. Izhar Ahmad (Larkin); Mazlan Bujang (Puteri Wangsa) dan Dr. Chong Fat Full (Pemanis).

Malah, selain Muhyiddin yang juga ADUN Gambir, dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahrudin Jamal juga merupakan ADUN Bersatu bagi kerusi Kempas dan Bukit Kepong diikuti tiga lagi wakil rakyat parti itu, Rasman Ithnain (Sedili); Rosleli Jahari (Johor Lama) dan Alwiyah Talib (Endau).

Sementara itu, menurut sumber, tindakan Che Zakaria itu ‘tidak direstui’ parti yang tidak tahu menahu pun mengenai gerakan terbabit meskipun terdapat gesaan UMNO agar Muhyiddin mengundurkan diri daripada jawatan Perdana Menteri.

“Tidak dipastikan bagaimana beliau boleh membuat kenyataan seperti itu yang mungkin menimbulkan ketegangan politik di Johor yang sudah tentu akan menarik perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Apabila beliau menyebut angka ADUN yang terlibat, sudah tentu orang fikir ada gerakan ke arah itu sedangkan pemimpin-pemimpin lain yang mungkin dikaitkan pun tidak tahu apa-apa. Mungkin Che Zakaria berbuat demikian sebagai ingatan kepada UMNO dan mahu mempertahankan Presiden,” katanya.

Terbaharu, Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam menafikan kenyataan Che Zakaria yang disifatkannya sebagai pandangan peribadi yang tidak ada kena mengena dengan parti.

Tetapi, kata sumber itu lagi, jika benar berlaku pertukaran Perdana Menteri dalam masa terdekat, sudah pasti ahli dan pemimpin Bersatu di negeri-negeri tidak akan berpeluk tubuh dan berdiam diri melihat sahaja presiden mereka diperlakukan sedemikian.

“Tindakan itu boleh dikaitkan seperti teori domino kerana jika Muhyiddin terpaksa melepaskan jawatan dalam keadaan ‘dipaksa’, maka sudah tentu ada tindak balas daripada pimpinan lain terutamanya di negeri yang dikuasai ‘lawan’ mereka ketika itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×