Hampir 40 peratus penduduk Pulau Pinang terima dos pertama vaksin - Utusan Malaysia

Hampir 40 peratus penduduk Pulau Pinang terima dos pertama vaksin

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan, depan) bersama Rozali Mohamud (dua dari kiri, depan) dalam sidang akhbar di pekarangan pejabat cawangan MBSP Jalan Betek, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kira-kira 36.8 peratus atau 652,000 penduduk di negeri ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin dalam mengawal risiko penularan Covid-19 setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah itu hampir separuh daripada kira-kira 1.2 juta penduduk yang telah berdaftar untuk mendapatkan vaksin buat masa ini.

Bagaimanapun, kata beliau, masih ramai penduduk Pulau Pinang yang secara keseluruhannya dianggarkan mencecah 1.78 juta belum mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

“Justeru, kita menggesa mereka segera berbuat demikian bagi membolehkan kita mencapai status imuniti kelompok lebih awal.

“Bagi yang telah selesai divaksin pula, jangan ingat anda sudah ‘kebal’ dan teruskan membuat saringan jika perlu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau pejabat cawangan MBSP Jalan Betek di sini hari ini bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.

Pejabat tersebut ditutup Jumaat lalu untuk kerja-kerja sanitasi serta pengesanan kontak rapat selepas sebanyak 18 kes positif Covid-19 dikesan di situ dan akan dibuka semula esok.

Mengulas mengenai inisiatif Penang Saring Covid-19 (PSC) anjuran kerajaan negeri kata Jagdeep, program itu sehingga kini telah dilaksanakan di 15 lokasi berasingan di seluruh negeri membabitkan sebanyak 13,309 pendaftaran secara keseluruhan.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 11,330 telah disaring dan hanya 3.53 peratus atau 401 orang dikesan positif Covid-19.

“Ujian saringan pengesahan berikutnya iaitu PCR (Polimerase-Transkripsi Terbalik atau RT-PCR) bagaimanapun mendapati hanya 201 orang atau hanya 1.77 peratus yang betul-betul positif setakat ini,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Rozali memaklumkan, seramai 32.3 peratus atau 1,297 pekerja MBSP telah divaksin daripada keseluruhan 4,015 kakitangan setakat ini.

Katanya, seramai 1,540 kakitangan atau 38.3 peratus pula telah mendaftar, namun, belum menerima tarikh janji temu untuk mendapatkan vaksin berkenaan manakala kira-kira 800 lagi masih belum berbuat demikian.

“Ingin saya tegaskan mana-mana kakitangan MBSP yang tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera untuk divaksinkan tanpa sebarang sebab munasabah, mereka hanya dibenarkan untuk menjalankan tugas di pejabat sahaja dan tidak dibenarkan untuk menjalankan tugas lebih masa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN