Nursyahirah menangis syukur ditawar tunai haji - Utusan Malaysia

Nursyahirah menangis syukur ditawar tunai haji

Nursyahirah Ramlee, 24, bersama suami Mohammed Hakeem Angullia, 27, dan dua anak mereka, Ameera Mumtaza, 4, dan Afeeya Mumtazah, 2, ketika mengerjakan umrah pada 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Saya menangis dan sujud syukur kerana ini hadiah paling bermakna sebelum pulang ke Malaysia hujung tahun ini.”

Itu reaksi seorang warga Malaysia yang tinggal di Madinah, Nursyahirah Ramlee, 24, apabila ditawar menunaikan haji walaupun tanpa mahram.

Menurutnya, tawaran itu merupakan keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada golongan wanita yang dipilih melaksanakan rukun Islam kelima itu.

Nursyahirah yang berasal dari Pontian, Johor berkata, dia memasang impian mengerjakan haji sejak tiga tahun lalu selepas mengikut suaminya, Mohammed Hakeem Angullia, 27, yang melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah.

“Pada mulanya saya sangka tidak dapat tunaikan haji disebabkan ketika menghantar permohonan, suami mengisi borang tanpa mahram kerana dia telah tunaikan haji sebelum itu.

“Tetapi aturan Allah SWT, alhamdulillah saya terpilih,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut ibu kepada Ameera Mumtaza, 4, dan Afeeya Mumtazah, 2, itu, peluang untuk wanita menunaikan haji tanpa ditemani mahram adalah nikmat bagi golongan itu yang bermastautin di Arab Saudi.

“Hikmahnya, bagi yang masih mempunyai anak kecil, suami boleh membantu menjaga anak-anak ketika isteri menunaikan ibadah haji,” katanya.

Tambahnya, dia menanam azam sejak dahulu untuk menunaikan haji ketika masih bertenaga dan pada usia muda kerana ibadah haji memerlukan kekuatan dari segi jasmani dan rohani.

“Memang saya agak berdebar-debar kerana mengerjakan ibadah ini tanpa suami, tetapi saya dan jemaah Malaysia berdoa agar semua urusan kami bersama jemaah lain dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN