Guru agama cabul dua pelajar dipenjara 20 tahun, lapan sebatan - Utusan Malaysia

Guru agama cabul dua pelajar dipenjara 20 tahun, lapan sebatan

Muhamad Ikram Yusuf (dua kiri) diiring keluar setelah dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen, Tawau hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang guru agama dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan, di Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah mencabul dua kanak-kanak lelaki di sebuah sekolah swasta tempat tertuduh mengajar.

Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhi hukuman itu terhadap Muhamad Ikram Yusuf, 25, yang didapati bersalah atas kesalahan mencabul dua kanak-kanak berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh melakukan seks luar tabii  terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun di bahagian dapur sekolah berkenaan dekat sini, pada pukul 4.30 petang, 13 September 2019.

Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyentuh kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sekolah yang sama pada pukul 4.30 petang dalam bulan April 2019.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati tidak bersalah atas pertuduhan mencabul seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun antara April hingga September 2019, berikutan testimoni pendakwaan tidak kuat.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Muhamad Ikram didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sepuluh tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan bermula hari ini dan hukuman dijalankan secara berasingan.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya memberitahu mahkamah bahawa pekerjaan seorang guru itu adalah tugas mulia namun, di sebalik pakaiannya  itu, tertuduh adalah predator seksual.

Jelas beliau, kebanyakan kanak-kanak akan berjumpa dengan guru pada usia muda, tetapi malang bagi mangsa kerana berjumpa dan belajar dengan seorang guru yang merupakan predator seksual.

Perbicaraan kes ini bermula pada 4 Oktober 2019 dan sepanjang perbicaraan seramai 19 saksi pendakwaan dipanggil, manakala pihak pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh sendiri.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya P.Kershanathan dan tertuduh diwakili peguam Dayang Aidaku Amira Aminuddin. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya