FAMA jamin bantu semua peringkat rantaian perniagaan, pengguna - Utusan Malaysia

FAMA jamin bantu semua peringkat rantaian perniagaan, pengguna

Pelbagai cara dilakukan oleh FAMA dalam membantu menangani masalah lambakan buah durian seperti membuka pusat pengumpulan, Pasar Tani dan menjual di platform e-dagang dengan kerjasama Shopee. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan membantu semua peringkat rantaian perniagaan dan pengguna terutama buah durian ketika penularan pandemik dan perintah Pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, bantuan tersebut meliputi kemudahan fasiliti, pemasaran dan produk pemprosesan.

Katanya, FAMA mempunyai pusat pemprosesan buah–buahan termasuk durian mengikut Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) untuk dijadikan sebagai produk sejuk beku bagi pasaran dalam serta luar negara.

Abdul Rashid Bahri

“Kami membantu semua pihak sama ada pekebun pengumpul dan peruncit serta pengguna bagi memastikan harga durian terutama durian kampung tidak jatuh mendadak ekoran PKP.

“Biasanya pihak kami membuat penjualan secara segar selain diproses dan dijadikan pes atau sejuk beku.Ini sekali gus dapat mengelakkan lambakan dan dalam masa sama membantu mereka yang terlibat menjana pendapatan lebih baik.

“Selain itu, dengan cara sebegini, kita dapat pelbagaikan produk dan mengekal harga sama ada di peringkat pekebun, pengumpul dan pengguna,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sehingga kini terdapat 16 unit kilang pemprosesan buah durian frozen whole fruit di Malaysia yang telah diiktiraf oleh negara China untuk tujuan eksport.

Pada masa sama, terdapat 33 buah kilang yang mendapat kebenaran dari negara China untuk memproses durian pulp dan durian pes untuk di hantar ke China.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya menggunakan pelbagai medium dan saluran bagi memastikan pasaran produk diperluas dari semasa ke semasa.

“Kami ada pusat operasi dan pengumpulan buah-buahan. Bagi pekebun yang ingin jual hasil, mereka boleh datang ke pusat berkenaan. Begitu juga kepada pengumpul yang boleh menggunakan kemudahan yang kami ada seperti khemah.

“Malah, di pusat pengumpulan pun ada lori yang datang mengambil buah-buahan berkenaan.Selain itu kami ada pusat perniagaan terbuka seperti di pasar tani,” ujarnya.

Tambah Abdul Rashid, pihaknya juga menerokai pasaran dalam talian seiring dengan peningkatan teknologi pada masa kini.

“Terdapat 216 usahawan dalam platform di e-dagang yang kami sediakan. Berurusan dengan kami mudah tanpa melalui proses birokrasi. Kita mengamalkan pendekatan terbuka.

“FAMA juga bekerjasama dengan Shopee bagi melaksanakan program Durian E-Fiesta @ eFAMAPlace. Apa yang penting kami tidak mahu dikawal oleh satu pihak sahaja dan mengelakkan berlaku monopoli dalam perniagaan,” katanya.

Harga yang ditawarkan FAMA juga sangat kompetitif dan disifatkan mampu milik untuk semua pengguna pelbagai peringkat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×