Empat kes VOC Covid-19 dikesan di Pahang - Utusan Malaysia

Empat kes VOC Covid-19 dikesan di Pahang

DR BAHARI CHE AWANG NGAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Empat kes varian baharu virus SARS-CoV-2 melibatkan varian yang membimbangkan (VOC) iaitu dua kes varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes varian Beta (B.1.351) dilaporkan di Pahang.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, kes varian Delta dikenal pasti  daripada kluster yang berlaku di bahagian tengah Pahang manakala varian Beta daripada kluster di bahagian timur negeri ini.

“VOC berlaku disebabkan oleh mutasi spike protein virus SARS-CoV-2 dan ia lebih mudah berjangkit dengan kadar penularan lebih pantas sekali gus menyebabkan jangkitan dengan gejala dan komplikasi yang teruk.

“Bagi varian Delta atau digelar super strain adalah VOC yang paling mudah dan pantas merebak malah kadar keberjangkitannya adalah 60 peratus lebih tinggi. 

“Delta boleh menyebabkan simptom dan komplikasi penyakit yang lebih teruk dengan kadar kematian lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Bahari berkata, untuk mengurangkan risiko daripada dijangkiti VOC Covid-19, orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksinasi dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

“Elakkan kawasan yang sesak dan sempit serta jangan bersembang dengan jarak dekat serta sentiasa amalkan 3W (Wash, Wear dan Warn). Paling utama adalah duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting,” katanya.

Menurutnya, bagi mereka yang mempunyai gejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil sampel. 

“Sesiapa yang mengetahui menjadi kontak rapat kes Covid-19, perlu menjalani kuarantin kendiri dan hadir di mana-mana klinik kesihatan untuk dibuat ujian.

“Selain itu, masyarakat turut dinasihatkan mendaftar segera untuk PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan),” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN