PETALING JAYA: Kerajaan perlu menjelaskan dengan lebih mendalam berkenaan bentuk ‘kelonggaran’ yang diberikan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Ini bagi mengelakkan wujud diskriminasi terhadap mereka yang tidak dapat melengkapkan dos kedua vaksin akibat alahan teruk dan bekas pesakit Covid-19 yang sudah mendapat imuniti selepas dijangkiti wabak berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Dr. Adlina Suleiman berkata, kerajaan juga mesti merangka prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Hal ini mesti jelas tentang apa yang orang sudah divaksinasi boleh lakukan dan apa yang tidak boleh. Cuma, persoalannya, bagaimana pula dengan mereka yang benar-benar tidak dapat mengambil vaksin kerana alahan?
“Adakah selamanya mereka tidak boleh merentas daerah? Walaupun mereka yang tergolong dalam situasi ini hanya dalam peratusan yang kecil tetapi mereka ada. Sekarang ini terlalu banyak perubahan dalam peraturan sedia ada yang tidak jelas,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, kelonggaran termasuk keluar membeli-belah atau sekurang-kurangnya merentas daerah bagi individu yang sudah melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan minggu depan.
17 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, individu yang sudah divaksin sepenuhnya boleh meneruskan aktiviti harian luar dan dalam seperti biasa tanpa perlu mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Ini berdasarkan garis panduan baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) tetapi ia hanya boleh dilakukan sekiranya peraturan tersebut sudah ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan, negeri, tempatan, suku atau wilayah. Namun, setakat ini, garis panduan tersebut hanya sah untuk Amerika Syarikat.
Pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah pula berpendapat, dengan kadar vaksinasi yang masih rendah dan kadar jangkitan yang tinggi dalam komuniti, kerajaan seharusnya tidak mempertimbangkan untuk melonggarkan peraturan untuk individu yang sudah lengkap vaksin.
Jelasnya, adalah lebih baik untuk kerajaan mengurangkan kadar jangkitan wabak dalam komuniti sebelum bersedia membuat perubahan terhadap peraturan sedia ada.
“Kita boleh membenarkan aktiviti yang tidak memerlukan seseorang menanggalkan pelitup muka untuk disambung semula, tetapi, mereka masih perlu mematuhi SOP penjarakan fizikal, memakai cecair pembasmi kuman dan elak bersesak.
“SOP juga perlu disesuaikan berdasarkan kadar kebolehjangkitan dan peratus populasi yang sudah menerima vaksin. Kena faham bahawa virus ini boleh berpindah melalui udara dan 85 peratus daripada mereka yang terdedah dengan vrius tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya. – UTUSAN ONLINE










