Dua lokaliti di daerah Kuala Muda dikenakan PKPD - Utusan Malaysia

Dua lokaliti di daerah Kuala Muda dikenakan PKPD

Abdullah Hashim (kanan) menunjukkan pelan dua lokaliti yang akan dikenakan PKPD di daerah Kuala Muda, Sungai Petani hari ini. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua lokaliti di daerah Kuala Muda di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini sehingga 18 Julai ini.

Pengerusi Pusat Kawalan Bencana Operasi Daerah (PKOB) Kuala Muda yang juga Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim berkata, dua lokaliti terbabit ialah di Sungai Lalang dan Bakar Arang di sini.

“Lokaliti Sungai Lalang membabitkan Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai yang yang mempunyai sebanyak 3,050 buah rumah membabitkan seramai 11,600 penduduk dan sebelum ini diletakkan di bawah Kluster Industri Sungai Getah.

“Sementara itu, lokaliti Bakar Arang pula membabitkan kawasan Perindustrian Bakar Arang yang meliputi sebanyak 76 buah kilang pelbagai sektor dan Taman Cahaya PKNK membabitkan 300 penduduk yang mendiami 104 rumah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Abdullah, dua lokaliti tersebut dikenakan PKPD kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes Covid-19 membabitkan penduduk tempatan dan warga negara asing yang bekerja di sektor perindustrian di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menugaskan seramai 115 pegawai dan anggota serta dibantu oleh 40 anggota penguatkuasa lain untuk mengawal dua lokaliti tersebut.

“Kita turut membuka dua sekatan jalan raya (SJR), dua post kawalan dan menutup 13 point dengan simen konkrit dan ‘bulb wyre’ untuk memastikan tiada pergerakan keluar masuk di dua lokaliti itu.

“Penduduk terlibat digesa mematuhi arahan yang dikenakan sama seperti PKPD terdahulu dan sebarang perbuatan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) akan diambil tindakan,” katanya.

Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr. Suziana Ridzuan memberitahu, penduduk di dua lokaliti itu yang telah dijadualkan untuk vaksinasi akan dihubungi bagi membuat penjadualan semula.

“Ini kerana dalam tempoh dua minggu PKPD dilaksanakan penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan masing-masing.

“Kita mahu mengekang wabak Covid-19 di lokaliti itu kerana ia dikesan semakin meningkat berbanding kawasan lain di daerah Kuala Muda ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN