SHAH ALAM: Tindakan terbaik yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini ialah membentangkan Ordinan Darurat untuk dibahas dan diundi di Parlimen sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, apabila dibahaskan, barulah boleh ditentukan sama ada undang-undang Proklamasi Darurat boleh dikuatkuasakan lagi atau dibatalkan.
Katanya, Ordinan Darurat mempunyai beberapa kelebihan antaranya ialah dalam tempoh proklamasi darurat pihak tentera boleh membantu urusan sekatan jalan raya, pengambilan harta-harta pihak swasta untuk dijadikan tempat kuarantin serta pemindahan personel kesihatan tanpa perlu menggunakan kuasa birokrasi.

“Apabila kita baca di laman media sosial, ramai yang kata tidak perlu Ordinan Darurat. Jadi tidak ada masalah kalau kerajaan bahaskan. Kita hendak dengar apa yang ahli-ahli Parlimen hendak. Kalau ada yang sokong teruskan Ordinan Darurat, kita hendak dengar hujah mereka.
“Eloklah Parlimen teruskan perbahasan, jangan bimbang hilang undi,” katanya pada Program Bicara Pakar bertajuk Kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 Perlembagaan secara langsung, semalam.
Program dua jam terbabit dianjurkan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bersama Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM dengan Felo Kursi Instituasi Raja-Raja Melayu UiTM, Mohd. Yunus Abu Samah bertindak selaku moderator.
Mengenai kenyataan balas yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, Shamrahayu memberitahu, ia jelas menunjukkan Seri Paduka mahu proses demokrasi itu dijalankan secara lebih makmur selain tidak mahu membuat sesuatu yang melangkaui kuasa Perlembagaan.
“Yang di-Pertuan Agong kata bahas. Apa yang saya faham, Seri Paduka mahu perbahasan dalam Parlimen. Perbahasan itu bukan untuk lulus atau tidak, ia bagi tujuan bagi mengungkaikan atau mengekalkan.
“Mengungkaikan bermakna menghentikan Ordinan Darurat itu. Kalau dalam perbahasan kata tidak perlu diteruskan, tidak ada masalah. Tidak payah lah kata tidak mahu bentang kerana isu takut atau undi tidak percaya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










