Aktivis masyarakat lapor SPRM mohon siasat salah guna kuasa pegawai kanan jabatan kerajaan - Utusan Malaysia

Aktivis masyarakat lapor SPRM mohon siasat salah guna kuasa pegawai kanan jabatan kerajaan

MOHD. SHUKRI Mohd. Ramli, menunjukkan gambar dokumen yang diserahkan kepada SPRM untuk diambil tindakan selajutnya, di pekarangan pejabat SPRM, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang aktivis masyarakat membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dilakukan bagi mengesan unsur penyelewengan dan rasuah dalam urusan permohonan tanah di daerah ini yang berkait rapat dengan seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan di sini hari ini.

Aktivis berkenaan, Mohd. Shukri Mohd. Ramli berkata, laporan tersebut dibuat apabila ada pihak mendakwanya menyebarkan berita palsu dan fitnah berkaitan pendedahan isu permohonan tanah bernilai jutaan ringgit di bandar raya ini yang dibongkar menerusi blognya ‘CMK Cucu Mat Kilau.

“Jadi, sebagai membuktikan bahawa semua ini bukanlah fitnah, saya buat laporan rasmi kepada SPRM dan minta mereka siasat.

“Kita nak tahu, bagaimana seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan yang mempunyai kepentingan dalam hal berkaitan tanah, yang masih bertugas, boleh mengemukakan permohonan bagi dirinya dan proses (permohonan) itu pula berlaku dalam masa singkat.

“Berdasarkan dokumen beliau (ketua jabatan terbabit) tidak menggunakan proksi, sebaliknya menggunakan namanya sendiri dalam permohonan tersebut,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan pejabat SPRM di Indera Mahkota di sini hari ini.

Permohonan tersebut berkaitan tanah seluas kira-kira 11,000 kaki persegi yang terletak di Indera Mahkota, berhampiran Jalan Bukit Istana itu dianggarkan bernilai antara RM1 juta hingga RM2 juta.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri menerangkan bahawa dokumen itu diperoleh melalui orang awam yang merasa pelik dan kecewa dengan tindakan pegawai kanan jabatan kerajaan itu.

“Saya sendiri terkejut apabila menerima satu dokumen yang tertera nama penjawat awam itu yang memohon tanah pada bulan Mei dan sehingga Jun dan telah diangkat untuk penilaian bagi mendapatkan kelulusan di mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

“Saya ambil masa untuk datang ke (pejabat) SPRM kerana perlu meneliti terlebih dahulu ketulenan dokumen terbabit. Saya sudah menyemak dokumen itu dengan pejabat berkaitan dan saya dimaklumkan bahawa semuanya (dokumen) sah.

“Ini agak berbeza jika permohonan itu datangnya dari rakyat marhaen, ada kalanya sampai 20 atau 30 tahun pun belum selesai… ada (permohonan) yang sampai mati pun (pemohon), belum selesai lagi. Itu belum masuk bab fail hilang, fail diangkat, fail kena selit sana sini,” katanya.

Katanya lagi, dia difahamkan pegawai terbabit turut membawa proksinya bertugas di jabatan sama, sebaik sahaja ditukarkan ke Kuantan.

“Dia bawa sekali dia punya kartel dari daerah lain ke sini… dan mereka ini mula memainkan peranan mencari tanah kosong, tanah tersepit untuk digunakan (memohon) bagi kepentingan peribadi.

“Benda (perkara) ni sudah lama, sudah berakar umbi di sana dan kita perlu perbetulkan… kerajaan negeri juga perlu ambil perhatian, kerana tindakan segelintir pegawai tidak jujur dan tidak amanah seperti ini akhirnya memberikan imej buruk terhadap kerajaan negeri.

“Sebagai penjawat awam, pegawai kanan dan ketua jabatan yang masih berkhidmat, mereka sepatutnya sedar tindakan seumpama ini salah dan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan laporan itu dibuat bukan kerana tidak berpuas hati ataupun dengki, sebaliknya mahu memberhentikan penyelewengan tanah-tanah melibatkan pegawai daripada jabatan kerajaan.

“Saya  hendak bantu kerajaan dan saya tidak pernah kait isu ini dengan mana-mana pemimpin, tiada niat untuk menjatuhkan sesiapa. Saya juga tidak mengenali dan tidak pernah berjumpa dengan individu tersebut.

“Saya berharap SPRM dapat menyiasat, bagaimana perkara membabitkan pegawai yang membelakangkan undang-undang ini boleh berlaku,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.