Wan Saiful : Adakah Anwar tiada lagi majoriti? - Utusan Malaysia

Wan Saiful : Adakah Anwar tiada lagi majoriti?

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Berhenti bermain politik dan terus fokus selesaikan masalah rakyat. 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana Anwar sehingga hari ini masih tidak serik untuk mempolitikkan semua isu termasuklah Covid-19 yang menjadi kebimbangan rakyat kini.

“Semalam Datuk Seri Anwar diperkenan berjumpa dengan Yang di-Pertuan (YDP) Agong di Istana Negara, dan beliau telah pun menyampaikan hasratnya supaya kerajaan tidak menyambung Perintah Darurat selepas bulan Ogos ini.

“Beliau harus sedar bahawa keputusan meletakkan negara di bawah Ordinan Darurat ini bukan sesuatu yang diambil mudah oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Perintah ini terpaksa dibuat bagi memastikan negara boleh memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19, dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tambah Wan Saiful, Anwar harus turut  memikirkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan sebelum Ordinan Darurat dilaksanakan. 

“Anwar juga perlu sedar bahawa YDP Agong, dengan kebijaksanaan baginda telah pun memperhalusi cadangan dan nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri serta mengambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bersetuju dengan keputusan kerajaan melaksanakan perintah Darurat itu,” jelasnya lagi. 

Berikutan itu, tegasnya lagi Wan Saiful menasihati Anwar supaya menghentikan polemik dan sebaliknya menyokong usaha kerajaan membasmi wabak Covid-19 serta membantu memulihkan keadaan ekonomi dan kesihatan rakyat. 

“Lebih baik bersama menyokong usaha kerajaan memastikan semua pihak mematuhi SOP dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin. 

“Sudah-sudahlah dengan permainan politik nak jadi PM (Perdana Menteri), kerana rakyat semakin bijak menilai permainan beliau dan PH yang ternyata makin bercelaru naratif perjuangannya,” katanya.

Wan Saiful dalam masa yang sama turut mempersoal mengenai Anwar sebelum ini yang dikatakan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan. 

Tetapi, perkara itu tidak disuarakan ketika bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, semalam. 

“Apabila Anwar cakap tiada perbincangan mengenai pertukaran pentadbiran kerajaan sewaktu jumpa Agong, adakah ini menunjukkan Anwar sedar selama ini dia hanya mereka-reka cerita sahaja?

“Sudah tiadakah ‘formidable numbers’ yang diuar-uarkan sebelum ini?” soalnya.

Anwar sebelum ini memaklumkan beliau memperoleh jumlah yang majoriti untuk membentuk kerajaan, namun tidak menjelaskan sokongan tersebut daripada siapa. 

Bagaimanapun, difahamkan sokongan tersebut termasuklah dari UMNO sendiri iaitu ahli parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan ahli parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya