Sijil halal tingkat keyakinan produk Nassa dan Yeh

Sijil halal tingkat keyakinan produk Nassa dan Yeh

NASARUDDIN Abdullah (kanan) bersama Azifah Zainul Abidin memulakan perniagaan mereka sejak 2006.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diperoleh Setia Selama Enterprise menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan jualan produk jenama Nassa dan Yeh, sekali gus melonjakkan keyakinan pengguna serta pengedar terhadap produk syarikat itu.

Pengurus Operasi Setia Selama Enterprise, Muhammad Sidqi Nasaruddin berkata, syarikat menerima sijil halal untuk produk mini wafer dan biskut gulung yang dihasilkan di kilang mereka di Kuala Kangsar, Perak sejak 2022.

Katanya, pensijilan tersebut bukan sahaja meningkatkan tahap kepercayaan pengguna, malah membuka lebih banyak peluang pasaran di dalam dan luar negara.

“Selepas dapat sijil halal, orang lebih percaya. Ia membuktikan kualiti bahan dan proses kami. 

“Prosesnya memang panjang tetapi penting kerana ia memerlukan persediaan, termasuk pemahaman tentang bahan mentah yang digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, syarikat yang diasaskan sejak 2006 di Changkat Jering, Perak itu diasaskan bersama oleh ibu bapanya iaitu, Nasaruddin Abdullah dan Azifah Zainul Abidin.

Menurutnya, pada awalnya syarikat itu memasarkan kuih tradisional seperti bahulu dan kuih bangkit atas jenama ‘Yeh’ dan kini telah mengorak langkah ke arah pengeluaran snek moden seperti biskut gulung dan mini wafer

“Syarikat kini menghasilkan lapan jenis unit simpanan stok (SKU) termasuk lima variasi biskut gulung perisa coklat, strawberi, pandan, durian dan nestum.

“Ketika ini, syarikat mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 75 kilogram sehari atau 350 bekas snek. Produk kami kini boleh didapati di beberapa kedai runcit di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan sebahagian kawasan di Lembah Klang serta Johor. 

“Kami juga ada memasarkan di beberapa stesen minyak di sekitar Perak dan menyasarkan dapat mengembangkan lagi banyak lagi pada masa depan,” ujarnya.

Muhammad Sidqi berkata, jualan syarikat mencecah RM50,000 hingga RM60,000 sebulan dan dijangka meningkat kepada RM80,000 hingga RM100,000 sebulan tahun hadapan.

Kataya, ini akan dipacu oleh peningkatan pengeluaran melalui automasi dan penempuasan pasaran pasar raya dan eksport dengan adanya pensijilan halal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN