BAGI kebanyakan wanita, dapur bukan sekadar ruang memasak, tetapi merupakan nadi utama sesebuah kediaman. Memiliki dapur yang cantik, kemas dan selesa sering menjadi impian, apatah lagi apabila gaya minimalis dan elegan semakin menjadi pilihan.
Bagaimanapun, mengubah suai dapur memerlukan perancangan teliti kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Sebarang kesilapan bukan sahaja boleh menjejaskan bajet, malah menyebabkan ruang dapur tidak berfungsi secara optimum.
Sehubungan itu, Ringgit minggu ini menyenaraikan enam perkara yang perlu dielakkan ketika melakukan ubah suai dapur supaya dapat menyelamatkan duit anda mengikut penelitian penulis.
- Elak pilih komponen kecil semata-mata mahu minimalis
Perabot kecil nampak moden, tetapi kurang praktikal.
Pastikan setiap komponen, termasuk rak rempah dan peralatan kecil supaya ada ruang khas dan mudah dicapai. Jangan hanya kejar gaya hingga abaikan fungsi.
- Jangan abaikan rutin harian anda di dapur
Dapur cantik belum tentu selesa. Fikirkan rutin harian anda dari penyediaan sarapan hingga makan malam.
Ini supaya susun atur dapat menyokong pergerakan anda dan kerja memasak dengan lebih lancar.
- DIY tanpa ilmu boleh makan diri
Jika tiada asas ubah suai, jangan paksa diri buat sendiri.
Kesilapan boleh menjejaskan struktur dapur dan memakan kos pembetulan. Oleh itu, anda boleh menggunakan khidmat pakar jika perlu.
- Jangan lupa rancang peralatan utama dari awal
Kesilapan biasa yang sering orang lakukan adalah memasang kabinet dulu, baru fikir lokasi peti sejuk atau ketuhar.
Sepatutnya, kita perlu merancang sejak awal saiz dan lokasi peralatan utama untuk elak susun atur sempit atau tidak seimbang.
- Jangan kurangkan pencahayaan untuk terlihat estetik
Pencahayaan yang baik bukan sekadar untuk hiasan, tapi penting untuk keselamatan dan keselesaan.
Gunakan gabungan cahaya semula jadi dan lampu yang terang di ruang kerja utama seperti di kawasan memotong barang makanan anda.
- Pastikan ruang simpanan di dapur mencukupi
Dapur perlu ruang simpanan yang cukup, bukan hanya untuk hari ini, tetapi untuk kegunaan akan datang atau jangka masa panjang.
Guna kabinet tinggi, rak gantung atau laci tersembunyi untuk maksimakan ruang. Kita ingin dapur yang ada boleh digunakan untuk tempoh lama untuk jimat duit. – UTUSAN










