Kompleks Arena Seremban, pemangkin ekonomi setempat

Kompleks Arena Seremban, pemangkin ekonomi setempat

KOMPLEKS Arena Seremban yang bernilai RM250 juta merupakan projek gaya hidup lima dalam satu pertama seumpamanya di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAYASAN Lee Tian Hock Yong Chou Lian mengumumkan pembangunan Kompleks Arena Seremban, projek gaya hidup lima dalam satu bernilai RM250 juta yang pertama seumpamanya di Negeri Sembilan.

Projek yang dibangunkan oleh Karisma Perwira Sdn. Bhd., anak syarikat yayasan diasaskan Datuk Seri Lee Tian Hock itu telah dilancarkan secara rasmi pada 28 Jun lalu,  sekali gus menjadi satu titik permulaan baharu kepada transformasi landskap bandar Seremban.

Tian Hock berkata, projek terbabit bukan sekadar pembangunan hartanah, malah menjadi manifestasi visi beliau untuk menjadikan Seremban sebuah bandar moden yang inklusif serta berdaya saing.

“Kompleks ini bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh daya tarikan pelancongan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek itu dilihat sebagai satu langkah penting ke arah pembangunan ekonomi dan sosial bandar Seremban.

Terletak di tapak seluas kira-kira 1.8 hektar dengan keluasan binaan 650,000 kaki persegi, kompleks berkenaan menggabungkan lima komponen utama yang menyokong gaya hidup moden dan pelbagai aktiviti komuniti.

Komponen pertama ialah Karisma Arena, sebuah stadium tertutup bertaraf antarabangsa setinggi tujuh tingkat yang mampu memuatkan 3,000 penonton.

Stadium itu dibuka pada 8 Jun, manakala tempahan untuk acara akan bermula pada bulan Julai.

Komponen kedua adalah Arena Premier Hotel, sebuah hotel 99 bilik lengkap dengan kemudahan seperti ruang lobi, dewan acara, kafe dan parkir bawah tanah yang sudah beroperasi.

Menara Karisma, sebuah blok pejabat tujuh tingkat pula menjadi komponen berikutnya, menyediakan empat tingkat ruang kerja serta parkir khusus untuk kegunaan korporat dan penyewa.

Komponen keempat ialah Arena Square, yang menawarkan 10 unit ruang komersial berkeluasan keseluruhan 10,300 kaki persegi.

Ia disasarkan untuk penyewa dalam sektor runcit, makanan dan minuman serta gaya hidup.

Sementara itu, Arena Residences adalah sebuah menara apartmen servis 20 tingkat yang akan menempatkan 195 unit kediaman moden yang dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Kompleks itu turut direka sebagai hab acara dan komuniti, yang mampu menganjurkan pelbagai program seperti konsert, persembahan kebudayaan, kejohanan sukan dalam dewan, e-sukan, ekspo kecergasan dan seminar korporat.

Dengan lokasi strategik serta kemudahan lengkap, Kompleks Arena Seremban dijangka menarik perhatian penganjur acara, pelancong, penduduk tempatan dan syarikat korporat dari dalam dan luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN