Vaksin Covid-19: Pegawai masjid perlu diberi keutamaan - Mufti Pahang - Utusan Malaysia

Vaksin Covid-19: Pegawai masjid perlu diberi keutamaan – Mufti Pahang

ABDUL RAHMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pegawai dan petugas masjid perlu diberikan perhatian dan keutamaan dalam program pemberian vaksin Covid-19 di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, ia penting kerana golongan berkenaan terdedah kepada orang ramai khususnya melibatkan jemaah yang hadir setiap hari ke masjid.

“Seperti kita sedia maklum, ada antara imam dan bilal serta pegawai masjid terdiri daripada mereka yang sudah berusia dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

“Imam, bilal dan siak sememangnya tidak ada pilihan, mereka tetap kena hadir seperti biasa di masjid atau surau yang mereka sudah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan tugasan di situ.

“Jadi, bayangkan kalau mereka disahkan positif Covid-19, sudah tentu risikonya sangat tinggi dan kita memang ada kes sebelum ini membabitkan pegawai masjid yang dijangkiti wabak ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya menyenaraikan imam, bilal dan guru takmir sebagai petugas barisan hadapan dan diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin Covid-19.

Saranan berkenaan disuarakan olen Dr. Zulkfili pada program bual bicara Forum Perdana Ehwal Islam, yang berlangsung semalam.

Berdasarkan rekod Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), seramai 924 imam, 859 bilal dan 865 siak yang bertugas di 660 masjid dan kira-kira 2,000 surau di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 perlu dilakukan dengan lebih sistematik dan cepat dalam proses pemberian vaksin secara berkelompok kepada seberapa ramai penduduk.

“Kita tidak tahu sampai bila wabak ini akan berakhir, tapi usaha sudah dan sedang dilakukan sebaik mungkin oleh semua pihak yang berwajib.

“Bagi saya, pertimbangkanlah juga pemberian vaksin tersebut kepada pegawai masjid ini… kerana mereka juga seperti petugas barisan hadapan yang lain.

“Dengan cara ini, sekurang-kurangnya dapat melindungi mereka daripada mencetuskan kluster baharu yang boleh memburukkan lagi penularan wabak ini di Pahang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya