UM sudah ada perancangan kursus vaksin sejak lapan tahun lalu - Utusan Malaysia

UM sudah ada perancangan kursus vaksin sejak lapan tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Idea dan perancangan untuk menawarkan kursus vaksin di Universiti Malaya (UM) sudah diketengahkan lapan tahun lalu, namun, usaha tersebut masih lagi tergantung tanpa sebarang kata putus sehingga ke hari ini.

Mendedahkan perkara itu, Pakar Virologi UM, Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, perancangan menawarkan kursus itu merangkumi tiga kursus di peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) iaitu kursus biokeselamatan, biosekuriti dan zoonotic disease research di mana pelajar akan belajar bagaimana menangani penyakit berjangkit dari haiwan.

Bagaimanapun, katanya, pihak pemegang taruh pada masa itu memikirkan bahawa ia bukanlah satu keperluan kepada negara disamping negara juga masih belum mempunyai industri pembangunan vaksin ketika itu.

“Kita mahu mereka yang membuat kursus biotek dan biologi di peringkat sarjana muda dapat melanjutkan pelajaran kerana kepakaran yang tinggi hanya boleh didapati melalui peringkat sarjana dan PhD.

“Perancangan itu memerlukan sokongan dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pemegang taruh yang lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari segi biasiswa bagi menyokong usaha pihak universiti kerana bidang itu memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM 5 juta setahun.

“Oleh sebab itu, jika perancangan itu berjaya lapan tahun dahulu, maka kita sudah ada kursus vaksin dan sekarang sudah bersedia dari segi kepakaran dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Malaysia dalam usaha membangunkan dua jenis vaksin Covid-19 yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan.

Menurut Sazaly, apabila berhadapan dengan pandemik sebegini, baharulah masing-masing tercari-cari dan mempersoalkan, walhal pihaknya sudah lama mempunyai perancangan berkenaan.

“Saya sudah menekankan kepentingan vaksin dari dahulu lagi. Sekarang barulah tercari-cari hendak buat vaksin tetapi pakar dan tenaga kerja mahir tidak ada,” katanya.

Tambah beliau, kursus tersebut penting kerana dapat mengeluarkan tenaga kerja mahir yang amat diperlukan dalam industri pembangunan vaksin.

“Setakat ini, sekiranya kita lihat hanya negara maju sahaja mampu untuk menghasilkan vaksin. Kita juga tidak boleh hanya bergantung kepada lepasan sarjana muda sahaja kerana ia tidaklah terperinci dan kompleks dalam bidang vaksin seperti di peringkat sarjana dan PhD.

“Kita juga mahukan sokongan industri kerana kita tidak mahu lepasan kursus itu tidak mempunyai kerja disebabkan tidak ada industri. Sekarang ini kita lihat keperluan industri pembangunan vaksin itu adalah penting. Kita lihat Pharmaniaga Bhd. serta beberapa syarikat lain sudah memulakan industri vaksin.

“Oleh itu, ini adalah kerugian jika kita tidak mempunyai tenaga kerja mahir kerana mereka akan membawa masuk tenaga kerja daripada negara luar seperti India dan sebagainya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN