Timbalan Presiden didakwa tipu syarikat minyak dan gas - Utusan Malaysia

Timbalan Presiden didakwa tipu syarikat minyak dan gas

AHMAD Hatta Kamaruzzaman (depan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang timbalan presiden sebuah syarikat kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menipu sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka agar syarikatnya diberikan status Bumiputera, tiga tahun lalu.

Ahmad Hatta Kamaruzzaman, 50, yang merupakan seorang pegawai kanan di Aker Engineering Malaysia didakwa mengemukakan dokumen bagi maksud memperdaya syarikat berprestij itu menyenaraikan syarikatnya sebagai sebuah syarikat berkelayakan dan berstatus Bumiputera.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai ejen syarikat kumpulan Aker Solutions memperdaya syarikat terkenal itu walhal dia mengetahui bahawa Aker Engineering bukan berstatus Bumiputera.

Ahmad Hatta didakwa menipu dengan menyembunyikan fakta sebenar pemilikan saham syarikat itu yang mana berkepentingan benefisiari sebenar adalah syarikat Kumpulan Aker Solution.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sini pada 7 Ogos 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan wang jaminan antara RM10,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam S. Devanandan yang mewakili Ahmad Hatta tidak membantah jumlah jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Hakim Izralizam Sanusi membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai ini untuk sebutan kes.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.